Zizi Kirana Tak Menyesal Dengan Penghijrahan- ”Saya Bersyukur Dengan Transisi Ini”

Share

Tekad berubah menjadi muslim sejati, penyanyi popular, Zizi Kirana tidak menyesal melakukan perubahan diri kerana percaya Allah lebih mengetahui apa yang terjadi.

Berusaha untuk istiqamah, Zizi reda dengan takdir Tuhan yang ditetapkan buatnya dan tidak pernah terdetik pun rasa sesal dalam dirinya atas penghijrahan yang telah dilakukannya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan transisi ini. Jika sebelum ini kehidupan kita hanya biasa-biasa, itu bermakna Allah sedang uji kita dan berkehendakkan untuk kita berubah dan berusaha.

“Segala apa yang kita ada sekarang ini merupakan rezeki yang diberikan Allah.

“Segalanya diberikan agar kita jangan lalai dengan perintahNya,” ujar penyanyi lagu Eh itu kepada SinarPlus.

Di samping itu, Zizi juga turut mengucapkan terima kasih kepada para peminatnya yang tidak pernah lelah memberikan sokongan buat dirinya.

Dia juga tidak mahu alpa menjalani hidup sebagai seorang muslimah yang Sakinah dan mawaddah.

Bahagia di sisis suami tersayang, Yusuf Bahrin rupanya sudah hampir setahun mereka melayari bahtera perkahwinan bersama.

“Setelah bergelar seorang isteri, saya tidak boleh lagi bergantung kepada pendapat diri sendiri sahaja.

“Melibatkan hal-hal kehidupan, saya tidak berani mengatakan kami sudah saling kenal dan mengetahui hati budi masing-masing kerana perjalanan hubungan kami masih jauh dan kini sedang membiasakan diri.

“Masih banyak lagi perangai yang belum diterokai. InsyaAllah, diharapkan hubungan ini kekal selamanya dan kita ikutkan saja takdir yang telah diaturkanNya,” jelas Zizi.

Published by
QIST