Pagi ini kita dikejutkan dengan kematian bekas pengacara terkenal, Datuk Mahadzir Lokman di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah. Kehilangan yang mengejutkan ramai ini memang meninggalkan kesan mendalam dan cukup besar dalam industri penyiaran. Ramai rakan-rakan beliau mengucapkan takziah dan masih terperanjat dengan kehilangannya itu. Salah seorang yang turut menitipkan kata-kata adalah teman lamanya yang juga bekas rakan penyiaran ketika sama-sama berkhidmat di TV3, Ras Adiba Radzi.
Menurut Ras Adiba tulisannya dalam instagram memberitahu dia membesar dengan pengacara ini sejak tahun 1986 ketika sama-sama bekerja di bilik berita di TV3.
Ketika itu Ras Adiba bekerja di bahagian koordinator wardrobe yang bertanggungjawab menyiapkan persalinan untuk tali leher, sapu tangan, baju tshirt dan juga jaket.
Sepanjang menguruskan keperluan pakaian beliau, Mahadzir Lokman dilihat cukup teliti dengan apa yang akan dipakainya dan akan memberi pandangan beliau jika apa yang dipakai tidak begitu sesuai.
Selepas tiga bulan di bahagian berkenaan, Ras Adiba akhirnya memulakan kerjayanya sebagai pemberita dan menjadi salah seorang pembaca berita di samping Mahadzir Lokman. Dan tentunya ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Menurut Ras Adiba, pada mulanya dia rasa gementar setiap kali baca berita di samping arwah. Beliau sering menegur cara penyampaian termasuk sebutan, ungkapan dan juga setiap penyelidikan yang dilakukan.
Walaupun agak tegas dalam soal itu tetapi impaknya cukup besar pada pengacara yang kini menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Ras Adiba begitu berterima kasih kepada Mahadzir Lokman yang tidak lokek berkongsi tip sepanjang pembabitannya sebagai penyampai berita.
Dia turut menyampaikan rasa terima kasih atas segala kebaikan, kegembiraan dan ada kalanya sedikit gurauan kasar dan cukup tegas sepanjang ‘sesi latihan’ dan itu semua menjadikan hubungan mereka cukup rapat. Bukan sahaja sebagai kawan tetapi juga seorang abang.
Malah bagi Ras Adiba yang sudah berada dalam dunia penyiaran lebih tiga dekad ini turut memuji bahawa Mahadzir Lokman digambarkan seorang personaliti yang unik dan tiada siapa dapat menggantikan beliau.
Nyata kehilangannya kini bukan sahaja dirasai oleh negara, malah bidang pengacaraan juga turut kehilangan permata bersinar yang cukup hebat dalam kelasnya tetsendiri.
Diakhir postingnya, Ras Adiba turut meluahkan bahawa personaliti popular ini nanti pasti akan dirindui selepas ini.
Menurut Berita Harian Online, Mahadzir memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama stesen televisyen itu.
Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi terbitan stesen televisyen (TV) berkenaan.
Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan beliau sering diundang sebagai pengacara pelbagai acara bertaraf antarabangsa.
Mahadzir dianugerahkan Ordre Les Palmes Academiques oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM RAS ADIBA RADZI & MAHADZIR LOKMAN