Acara peringkat kebangsaan Program Kasih Remaja: Advokasi SRH (Sexual Reproductive Health) oleh LPPKN yang dijalankan dengan kerjasama Kotex Malaysia dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu YB Dato’ Sri Hajah Nancy Binti Shukri bersama YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Pusat Belia Antarabangsa (IYC).
Strategi pelaksanaan program Kasih Remaja secara 3Ps (public private partnership) ini bakal melibatkan pelbagai agensi kerajaan, NGO dan swasta selari dengan Dasar dan Pelan Tindakan PEKERTI 2022-2025. Ia menekankan usaha untuk menyebarluaskan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada golongan remaja di seluruh negara.
Program Advokasi SRH ini memberi tumpuan kepada empat komponen pelaksanaan iaitu Program Advokasi SRH, Kit Pembelajaran Kendiri Advokasi SRH, kaunseling SRH Remaja dan Klinik KafeTEEN; serta Pemberian Kit Pengurusan Kebersihan Diri.
Kotex Malaysia akan menyokong komponen program Advokasi SRH, Kit Pembelajaran Kendiri Advokasi SRH dan pemberian Kit Pengurusan Kebersihan Diri.
Pencipta tuala wanita terkemuka ini memberi komitmen untuk menyumbang 600 ribu kit pengurusan haid Kotex. Setiap kit dilengkapi tuala wanita Kotex Soft and Smooth, dan pantyliner Kotex Daily Fresh serta bahan pendidikan bercetak yang berkaitan.
BACA JUGA: Amalan Doa-doa Yang Membantu Legakan Sakit Perut Ketika Awal Haid
“Kerjasama ini memanfaatkan seramai 98 ribu remaja perempuan Malaysia dan dijangka akan melibatkan 200 ribu orang pada akhir tahun ini,” kata Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia, Lim Yu Chien.
Menurut beliau lagi, Kotex Malaysia menghasilkan dua kandungan video pendidikan haid dan SRH yang bakal ditayangkan di sekolah.
“Kami telah berunding dengan pasukan pakar perubatan, pendidik dan pekerja NGO wanita untuk kandungan kedua-dua video pendidikan bagi memastikan ia berkualiti dan bersesuian untuk masyarakat Malaysia.”
Video pertama memberi penekanan kepada pendidikan haid dan merangkumi tentang haid pertama, sindrom pra-haid, kitaran sihat, amalan kebersihan haid dan banyak lagi. Video kedua pula adalah tentang kesihatan reproduktif, hak badan, dan lain-lain.
Satu kajian dilakukan oleh Kotex Malaysia mendedahkan bahawa 50% murid perempuan ingin ponteng sekolah semasa datang bulan, dan 50% murid perempuan merasa tidak yakin dengan diri mereka semasa datang bulan.
“Isu-isu berbangkit adalah stigma dan tabu mengenai haid, dan murid-murid tidak mempunyai maklumat mencukupi mengenainya. Sebagai jenama yang percaya bahawa wanita tidak patut dihadkan oleh haidnya, penting bagi murid-murid dilengkapi dengan pengetahuan untuk mengurus haid dan pengurusan diri,”
kata Lim Yu Chien.Majlis pelancaran disertai oleh 500 pelajar. Sebelum majlis utama, empat taklimat dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan untuk memberikan murid-murid pengetahuan mengenai pelbagai topik termasuk advokasi anti gangguan seksual, hak kanak-kanak dan ketahanan emosi.