Wanita Yang Disakiti, Cuba 4 Langkah Ini Untuk Belajar Memaafkan.

Share

Disakiti, dikhianati dan dilukai adalah sebahagian daripada perjalanan kehidupan. Segala yang berlaku menjadi pengajaran dalam hidup kita. Pernah tak anda berasa marah akan seseorang sehingga rasa mahu membalas dendam? Sehingga satu tahap anda bahkan tidak boleh memaafkan diri anda sendiri? Jadi bagaimanakah cara untuk anda memaafkan diri sendiri seterusnya orang yang telah melukakan anda? 

“Ala, maafkan sahaja. Dia bukannya sengaja”. Pernyataan seperti ini kedengaran mudah tetapi hakikatnya tidak. Memang…memang mudah untuk diungkapkan, namun ianya perlu lahir dari lubuk hati yang paling dalam. Bagaimana dengan anda? Sudahkah anda memaafkan insan tersebut?

Sumber gambar dari pexels

Apakah erti kemaafan?

Meninjau perkongsian Naluri, ‘kemaafan’ atau istilah lain iaitu ‘memaafkan’ adalah keputusan yang diambil untuk melepaskan perasaan benci atau dendam terhadap seseorang yang telah menyakiti atau mengecewakan anda. Ramai yang tersalah anggap kemaafan ini adalah untuk melepaskan, melupakan atau membenarkan kesilapan. Namun, sebenarnya tidak.. Erti sebuah kemaafan adalah apabila anda mengakuinya dan membuat keputusan untuk melepaskannya.

Artikel berkaitan: Datuk Dr Hamid Arshat Kongsi Tip Kawal Stres; Didik Diri Memaafkan, Tidak Berdendam & Kawal Perasaan Marah

4 langkah untuk memaafkan diri sendiri dan mereka yang menyakiti anda

1. Maafkan dan Sayang Diri Sendiri Terlebih Dahulu

Sumber gambar dari canva

Sebelum anda maafkan orang lain, anda perlulah belajar untuk memaafkan diri sendiri. Apabila anda disakiti ataupun dikhianati, anda mesti mula berfikir yang semuanya terjadi disebabkan anda, anda sendiri adalah punca. Selepas itu, pasti anda mula membayangkan segala kekurangan dalam diri anda.

Terkadang, kita sukar untuk memaafkan orang lain kerana masih bergelut untuk menerima perasaan dan emosi sendiri. Jadi, langkah pertama untuk meringankan hati adalah dengan memaafkan diri sendiri terlebih dahulu. Lembutkan hati dan berdamai dengan diri sendiri. Anda boleh bermonolog atau mengingatkan diri sendiri seperti “mulai dari hari ini saya akan cuba untuk memaafkan diri sendiri“. Ulang kalimat ini setiap hari. Dari situ akan terbit suatu kekuatan yang lebih besar untuk memaafkan orang lain.

2. Beri Ruang Untuk Memaafkan

Sumber gambar dari pexels

Walaupun masih marah atau sakit hati, cubalah semampunya untuk maafkan. Bukakan pintu pengampunan kepada mereka yang telah menyakiti atau menganiaya anda. Menyimpan kebencian hanya memburukkan dan menghalang anda daripada mencari ketenangan. Islam sentiasa mengajar pengikutnya untuk saling memaafkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199).

Jika anda terlalu benci akan seseorang, anda akan sentiasa berfikir sampai termimpi kejadian yang menyakitkan berulang kali. Tambahan itu, ia juga menguasai dan menjejaskan kesihatan mental dan keupayaan untuk merasai kegembiraan, yang merupakan motivasi untuk memaafkan.

Sekurang-kurangnya buka pintu dan berikan ruang supaya anda berasa lebih tenang.

3. Jaga Niat Baik yang Ada

Memaafkan mereka yang telah menyakiti anda, walaupun mereka tidak “layak” merupakan suatu perkara kebaikan. Walaupun dalam proses memaafkan itu anda masih merasa sedih setiap kali mengenangkan peristiwa buruk yang telah berlaku, sekurang-kurangnya niat baik anda masih terjaga. Jangan pernah mendoakan yang buruk terhadap orang lain. Menurut sumber dari Bahtsul Masail, mendoakan kebinasaan atau keburukan terhadap orang lain menurut Imam Al-Ghazali, adalah perbuatan yang keji dalam syariat Islam sebagaimana dinyatakan dalam kitab Ihya Ulumiddin:

ويقرب من اللعن الدعاء على الإنسان بالشر حتى الدعاء على الظالم كقول الإنسان مثلا لَا صَحَّحَ اللَّهُ جِسْمَهُ وَلَا سَلَّمَهُ اللَّهُ وما يجري مجراه فإن ذلك مذموم وفي الخبر إن المظلوم ليدعو على الظالم حتى يكافئه ثم يبقى للظالم عنده فضلة يوم القيامة

Maksudnya: “Dekat dengan laknat adalah mendoakan keburukan untuk orang, termasuk mendoakan orang yang berbuat zalim, seperti doa seseorang, ‘Semoga Allah tidak menyehatkan badannya,’ ‘Semoga Allah tidak memberikan keselamatan untuknya,’ atau doa keburukan sejenisnya karena semua itu adalah perbuatan tercela. Dalam hadits disebutkan, ‘Sungguh, orang yang teraniaya mendoakan keburukan untuk orang yang menganiaya sampai lunas terbayar, tetapi yang tersisa kemudian adalah kelebihan hak orang yang berbuat aniaya atas orang yang teraniaya pada hari kiamat,’”

4. Tumbuh dengan Cara Terbaik Anda (Grow in Your Best Way)

Yakinlah bahawa semua yang berlaku ini membantu anda menjadi lebih lebih kuat, lebih matang dan lebih bijak. Semakin banyak nilai positif yang anda tanam dalam diri anda, lebih cepat ia menyembuhkan semua luka di dalam hati. Walaupun keikhlasan untuk memaafkan tidak muncul dalam sekelip mata, sekurang-kurangnya anda boleh menjadi orang yang lebih baik untuk seketika. Tambahan itu, anda juga perlu faham bahawa semua perkara memakan masa, apatah lagi proses memaafkan. Hargai pertumbuhan anda.

Sumber gambar dari pexels

Jangan hancurkan diri anda dengan amarah, kebencian dan dendam. Semoga hati anda  sentiasa terbuka ya. Dengan memaafkan, hidup anda akan menjadi lebih baik di masa hadapan dan hati anda akan berasa lebih tenang.

Artikel berkaitan: 6 Penawar Mengubat Sakit Hati, Ini Cara Yang Diajarkan Rasulullah.

Sumber: Fimela

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira