Oki Setiana Dewi memang dikenali sebagai antara selebriti Indonesia yang mempunyai personaliti dan karakter yang mempersonakan serta baik budi pekertinya.
Berkongsi di laman Facebook, Husna Najihah mencoretkan 10 perkara yang dipelajari dari Oki sewaktu menonton sesi ‘live’ di antara Oki bersama dengan Prof. Dr. Muhaya di laman sosial.
Asyik betul saya tonton video Zoom kolaborasi antara Prof. Dr. Muhaya dengan selebriti wanita muslimah dari seberang, Oki Setiana Dewi (OSD). Durasi video yang hampir lebih 1 jam rasa macam 10 minit saja. Tak puas! 😅
Siapa tak kenal OSD ini, sosok wanita gigih yang menyelesaikan pengajian Master dan PhD nya walau anak sudah hampir masuk empat orang. Ditambah lagi dengan perusahaan bisnes yang diusahakannya.
Bukan itu saja, beliau juga giat membangunkan maahad tahfiz khusus untuk para faqir miskin dan anak yatim yang ingin belajar dan menghafal Al-Quran. Malahan yuran mereka juga percuma, ditanggung sepenuhnya.
Hidupnya bukan semata untuk dirinya, tapi diniatkan untuk membantu ummah dan masyarakat sekelilingnya.
Di sini saya kongsikan pesanan penting Oki Setiana Dewi supaya lebih ramai wanita dapat manfaatnya juga;
1. Wanita mesti fokus tambah ilmu. Bila kita semakin banyak belajar, barulah kita semakin menyedari bahawa banyak perkara sebenarnya yang kita tidak tahu. Selesaikan ilmu fardhu ain dahulu, barulah selepas itu ilmu-ilmu yang selainnya.
Oki menceritakan pengalamannya saat melanjutkan pelajaran ke Jerman, beliau bertemu dengan ramai rakan sekuliah yang belum Islam, tetapi sangat mahir Bahasa Arab malahan ada yang menghafal Al-Quran.
Ya, benar otak mereka sangat bijak, tetapi semua ilmu itu digunakan untuk menyerang orang Islam. Jadi tugas kita sekarang bukan sahaja untuk melahirkan lebih ramai orang bijak, tetapi mesti lahirkan orang bijak yang beriman.
“Satu prinsip Oki yang saya kagum adalah beliau akan pastikan pengasuh anak-anaknya dan pembantu rumahnya adalah dari kalangan wanita yang solehah dan dekat dengan Al-Quran. Sehinggakan, kalau pengasuhnya memanggil anaknya dari tingkat bawah, anaknya akan menuruni tangga sambil mengalunkan “Qulhuwallahu Ahad, Allahussomad”. Masha allah!
Makanan yang halal dan baik akan sangat mempengaruhi karakter kita. Manakala, makanan yang haram pula akan menghalang doa-doa kita daripada diterima.
Oki bercerita kisah seorang kenalan wanitanya di Indonesia. Wanita itu mempunyai 10 orang anak dan semuanya merupakan penghafal Al-Quran. Ketika ditanya apakah rahsianya?
Wanita itu menjawab ;
“Setiap kali sebelum tidur, saya akan berdoa dengan sungguh sambil menyebut satu persatu nama anak-anak saya. Saya mohon supaya mereka ini direzekikan Allah untuk menjadi penghafal Al-Quran.”
Dan ternyata, memang Allah mengabulkan doanya.
Siapa kita berkawan akan menentukan siapa diri kita. Siapa kita follow dan subscribe akan mempengaruhi cara fikir dan gaya hidup kita. Jadi, mesti buat pilihan dengan tepat. Wanita mesti bina ‘iffah (kemuliaan) diri. Jaga dan pelihara sungguh-sungguh maruah dan peribadi.
Pastikan sifat ‘malu’ (yang bertempat) adalah pakaian yang paling utama untuk dipakaikan kepada diri.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
kredit: Husna Najihah