Tidak kira musafir ke tempat jauh atau dekat, isu solat tidak boleh dipandang remeh.
Antara sedar atau tidak, ramai yang melakukan kesalahan berulang akan hal yang wajib seperti solat.

Melancong bersama keluarga mahupun teman-teman memang menyeronokkan. Walau bagaimanapun sebagai Muslim, kewajiban untuk mengerjakan solat mesti dijaga sebaik-baiknya. Semasa melancong atau bermusafir kita dibenarkan atau diberi kemudahan untuk melakukan solat jamak dan qasar.

Berikut perkongsian Azie Sam dari Kembara Impian tentang percutian di bumi Korea.

HARI PERTAMA

Jadual penerbangan ke Seoul Korea kira-kira jam 2.15 petang. Sebelum menaiki kapal terbang, kami sempat solat jamak zohor asar di surau lapangan terbang. Perjalanan mengambil masa selama 6 jam perjalanan. Waktu perbezaan pula adalah di Korea 1 jam awal berbanding di Malaysia.

Sampai je di airport Incheon kami menaiki mpv untuk ke hotel. Airport ke hotel mengambil masa selama 45 minit. Kami mengerjakan solat jamak takhir maghrib isyak di hotel sahaja. Untuk makan malam pula kami cuma makan di bilik hotel sahaja kerana kepenatan berada lama di dalam flight.

HARI KE DUA
Bermula pengembaraan kami di bumi Seoul Korea. Seawal pagi kami keluar hotel menuju ke Istana Gyeongbokgung yang menjadi mercu tanda istana lama yang dikenali sebagai istana yang diberkati syurga. Kami sempat menyaksikan persembahan upacara pertukaran pengawal dengan penuh istiadat.

Perjalanan diteruskan di Insadong street di mana pelbagai cenderahati yang bermotifkan kebudayaan Korea ada dijual di sini. Ianya tidak jauh dari Istana Gyeongbokgung. Di sini juga kami menikmati makan tengahari di restoran Nirvana Halal Kitchen yang menyediakan makanan menu india muslim. Kami juga mengambil kesempatan solat jamak zohor asar di restoran ini dan mereka juga menghormati dan memahami permintaan kami untuk bersolat di situ.

Setiap kali makan di restoran halal dan lazimnya waktu tengahari, kami akan pastikan telah masuk waktu zohor untuk memudahkan kami menumpang solat di restoran tersebut kerana bagi kami restoran halal dan pastinya ada menyediakan ruang solat untuk pekerjanya dan kami meminta izin untuk memnunaikan solat di situ.

Perjalanan diteruskan ke Bukchon Hanok Village dan Namsangol Hanok Village di mana tempat ini memaparkan perkampungan lama penduduk Korea pada zaman dahulu.

IKLAN

Waktu solat Maghrib dan Isyak kami akan lakukan di bilik hotel.

HARI KE TIGA
Perjalanan hari ketiga diteruskan untuk ke Pulau Nami di mana pulau ini sangat terkenal dengan drama Korea ‘Winter Sonata’ Saya yakin ramai yang mengetahui drama tersebut. Ia dipanggil Pulau Romantik Winter Sonata kerana penggambaran drama tersebut di Pulau Nami ini. Sangat cantik dan indah. Seharian kami menyelusuri pulau ini. Untuk makan tengahari, ada restoran Asian cuisine yang menjanjikan restoran ini adalah restoran halal. Kami menikmati makan di sini.

Dan untuk solat, ada disediakan Musolla Prayer Room yang sangat selesa dan luas di sebelah restoran tersebut dan selepas makan tengahari kami terus menunaikan solat jamak zohor asar. Pulau ini mesra muslim. Setelah seharian menikmati indahnya pulau ini, kami pulang ke hotel dan menunaikan solat jamak maghrib isyak dan berehat.

HARI KE EMPAT
Rugi rasanya jika ke Korea tidak merasai taman tema yang terbesar dan paling seronok iaitu Everland. Perjalanan mengambil masa kira kira 1 jam setengah dari Bandar Seoul dengan menaiki bas. Kami menghabiskan masa setengah hari di sini, bermain dan merakam gambar untuk kenangan. Kami makan tengahari dengan membawa bekal dari hotel untuk alas perut.

Selepas berpuas hati Everland ini, kami meneruskan perjalanan ke Itaewon iaitu Bandar yang dikenali sebagai Bandar muslim. Sesampai je di Itaewon ini kami ke satu satunya masjid yang gah berada di Korea ini untuk menunaikan solat jamak takhir asar zohor.
Sepanjang perjalanan di Bandar Itaewon ini pelbagai restoran muslim yang kami jumpa.

IKLAN

Hampir kesemua restoran di sini adalah halal. Ramai juga jumpa orang orang muslim seperti Indonesia, Pakistan. Arab dan tidak kurang dari Malaysia sehinggakan kebanyakkan pekerja di restoran restoran ini fasih menggunakan bahasa Melayu. Patutla orang namakan ia Bandar muslim. Kami tidak melepaskan peluang makan makanan street food yang pelbagai.

Setelah beberapa jam menikmati Bandar muslim ini dan menikmati pelbagai makanan, kami sekali lagi solat di Seoul Central Korea ini untuk menunaikan solat jamak Maghrib Isyak.

Dan pulang ke hotel dengan senang hati.

HARI KE LIMA
Hari kelima masih bersemangat seperti hari hari sebelumnya. Pagi pagi kami keluar untuk ke Namsan Tower yang menjadi mercu gah orang Korea. Mendaki ke Namsan Tower ini dengan menaiki cable car dan apabila sampai di puncak, kita boleh menikmati panorama keseluruhan Bandar Seoul yang sangat indah. Banyak juga yang menarik di atas ini antaranya adalah padlock love di mana boleh abadikan nama yang digantung di sepanjang jalan di Namsan Tower ini.

Selesai menikmati, kami turun juga dengan menaiki cable car dan terus ke restoran yang famous di kalangan orang Malaysia iaitu ‘kampungku.’ Restoran ini sangat dekat dengan Namsan Tower dan terletak tengah Bandar Seoul.

Pelbagai hidangan yang disediakan dari makanan Korea itu sendiri, nasi lemak, nasi goreng, pizza, makanan barat dan banyak lagi. Seperti biasa waktu makan adalah waktu terbaik untuk kita mengambil kesempatan untuk solat jamak zohor asar sebelum meneruskan perjalanan. Di restoran ini ia juga menyediakan ruang solat yang luas dan selesa di tingkat 3 restoran tersebut.

IKLAN

Perjalanan di teruskan ke Myeongdong street. Syurga bagi wanita yang suka dengan barangan kosmetik dan penjagaan kecantikan. Di sini terdapat pelbagai street food terutaman makanan korea yang harus dicuba. Cuma perlu berhati hati dalam pemilihan untuk mencari makanan halal.

Kami mengambil inisiatif di mana memilih makanan yang tidak berasaskan haiwan dan memilih untuk mencari kedai yang ada mempamerkan logo halal. Sepanjang di bumi Korea, kami banyak mengambil buah buahan untuk mengalas perut dan memberikan tenaga yang baik sepenjang perjalanan.

HARI KE ENAM
Pagi ini kami sempat membeli cenderahati untuk di bawa pulang ke Malaysia di pasar Namdaemun kerana pasar ini buka seawal jam 6 pagi. Jam 11 kami bertolak dari hotel ke airport untuk pulang ke Malaysia. Selepas check in luggage, kami terus makan tengahari di restoran halal yang berasaskan indian food dan solat jamak zohor asar di sini.

Bagi saya, kemudahan makanan halal dan ruang solat di bumi Korea tidak susah jika kita berusaha mencari dan menjaganya walaupun sedang bermusafir. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Yang dipelajari adalah bumi Korea walaupun bukan negara Islam tapi ianya mesra muslim. Bermusafir ini banyak hikmahnya bukan sekadar berseronok sahaja. Menikmati kebesaran Allah swt adalah sesuatu yang sangat dituntut.

HIKMAH DISYARIATKAN SOLAT QASAR/JAMAK

Sabda Rasullah SAW  maksudnya:

“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

*Meringan/memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat dalam perjalanan.*Tanda kasih sayang Allah SWT kepada manusia.
*Supaya solat fardu dapat dilaksanakan dalam apa keadaan sekalipun.
*Menggalakkan umat Islam bermusafir/melancong/ziarah-menziarahi bagi menambahkan keimanan dan mengeratkan tali persaudaraan.

Sumber kredit: Azie Sam dari Kembara Impian

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI