Seminggu yang lalu, penyanyi nombor 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin telah selamat melahirkan anak sulungnya di sebuah hospital swasta di sekitar Kuala Lumpur. Memilih tarikh 1 Rejab untuk melahirkan anaknya itu, Siti dan suaminya, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa telah dikurniakan bayi perempuan yang sangat comel. Alhamdulilllah, kedua-duanya berada dalam keadaan yang sihat dan baik.

Kenyataan Rasmi: Dato’ Sri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kira-kira jam 8.17 pagi. Beliau melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram itu secara pembedahan. Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat saja untuk melawat. Suami beliau, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat. Apa yang penting bagi beliau adalah proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anaknya juga sihat. Siti dan suami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan. Pasangan ini memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad (Rasulullah s.a.w) selain jatuh pada tarikh 1 Rejab. Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu. Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya. -Rozi Abdul Razak Pengurus

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on

Beberapa hari selepas kelahiran puteri kesayangan mereka, wajah anak itu telah tersebar secara meluas meskipun Siti dan suaminya berjanji untuk berkongsi wajah anak mereka pada hari yang ke-7. Dato’ Sri Khalid sendiri melahirkan rasa terkilan di atas penyebaran gambar tersebut tetapi memaafkan individu yang menyebarkan gambar itu.

Semalam, satu majlis Maulid Nabi, Aqiqah dan Tahnik telah diadakan sempena menyambut hari ke-7 kelahiran puteri comel ini. Demi menunaikan janji kepada rakyat Malaysia, Siti dan suaminya telah berkongsi wajah anaknya menerusi laman Instagram. Subhanallah, memang comel ‘bayi comel pipi merah’ ini! Hijabista sendiri cukup teruja melihat kecomelan puteri sulung Siti ini.

Bismillahirrohmanirrohim dan Assalamualaikum, Saya dan suami ingin memperkenalkan anakanda kami kepada semua yang menanti-nantikan detik ini. . Hari ini merupakan hari ketujuh usia kelahiran anakanda kami yang kami namakan dengan gelaran Fatimah Az-Zahra selama seminggu ini. . Inilah penyejuk hati, anugerah ilahi, anakanda yang melengkapkan kehidupan kami. . InshaAllah, pada malam ini, suami saya akan mengumumkan nama sebenar anakanda kami dan boleh ditonton secara langsung menerusi akaun youtube Siti Official Video bermula jam 9 malam. Kami akan mengadakan majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik pada malam ini. . Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kami selama ini dan hanya Allah saja yang mampu membalas jasa baik kalian. Semoga Allah merahmati kita semua. #usia7hari #babyCTDK

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on

Semasa majlis berlangsung, Siti kelihatan manis dengan persalinan busana rona hijau lembut rekaan Ezuwan Ismail dipadankan bersama selendang rona pastel. Jika selebriti lain mahu kelihatan glamor di majlis aqiqah anak mereka, Siti memilih untuk tampil sederhana dengan sarungan jubah berpotongan ringkas dengan mainan lace pada bahagian tangan. Menerusi gambar yang dimuat naik menerusi lnstagram, puterinya juga turut memakai gaun labuh dari rona yang sedondon.

Ads

Turut menarik perhatian Hijabista adalah dekorasi majlis aqiqah dan tahnik yang cukup meriah dan indah ibarat berada di dalam taman bunga. Bertemakan mainan rona pastel dan putih, dekorasi majlis ini telah disempurnakan oleh Nas Great Idea Weddings. Hijabista percaya Siti turut berpuas hati melihat hasilnya yang cukup memukau. Meskipun masih di dalam pantang, Siti tetap tersenyum manis meraikan tetamu yang hadir memeriahkan majlis tersebut. Terpancar kebahagiaan dan kegembiraan di wajahnya.

Ads

Pada malam itu, Siti dan suami turut mengumumkan nama puteri sulung mereka kepada umum. Bayi comel pipi merah itu diberi nama Siti Aafiyah binti Khalid di mana perkataan ‘Aafiyah’ di dalam bahasa Arab bermaksud ‘segala yang baik-baik.’ Pengumuman nama puteri sulung mereka itu dilakukan sendiri oleh Siti dan suaminya. Menerusi laman Instagramnya sendiri, Siti telah berkongsi video doa yang telah mencetuskan ilham mereka untuk menamakan puteri mereka. Menurut Siti, nama tersebut diperolehi ketika mereka suami isteri mengerjakan umrah di Makkah. Suaminya sering membaca doa pendek yang mempunyai perkataan Aafiyah.

Ads

Meskipun terdapat sedikit komplikasi selepas proses kelahiran di mana beliau kehilangan banyak darah dan hanya boleh berjalan pada hari ketiga, Siti seakan tidak percaya yang dia kini sudah memiliki seorang bayi yang cukup sempurna. Hilang segala sakit apabila melihat wajah anaknya itu.

Hijabista ucapkan tahniah kepada Siti dan suami di atas kelahiran puteri comel itu. Semoga Siti Aafiyah membesar dengan sihat dan menjadi penyejuk hati ayah dan bonda.

Foto: Instagram Siti Nurhaliza

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI