Tidur adalah waktu untuk memberikan tubuh dan minda kita berehat. Pada siang hari bukan sahaja otak perlu ‘bekerja’ keras tetapi juga tubuh. Maka waktu malam adalah waktu yang Allah peruntukkan untuk minda dan tubuh berehat iaitu melalui dengan cara tidur.
Setiap hari kita ada 24 jam dan dari 24 jam itu biasanya sekurang-kurangnya 6 jam akan dihabiskan untuk tidur. Setelah penat bekerja seharian, mesti badan pun perlukan rehat. Tapi tahukah anda bahawa anda boleh dapat pahala ketika tidur? Caranya mudah saja, iaitu dengan berwuduk!
Tanpa wuduk, anda hanya akan baring dan tidur mengikut rutin harian anda. Walau bagaimanapun apabila anda berwuduk sebelum baring untuk tidur, in shaa Allah anda akan mendapat pahala dengan sangat mudah.
Rasulullah SAW bersabda;
“Bersihkanlah badan-badan ini, dan Allah akan menyucikan kamu. Tak ada seorang hamba yang menghabiskan malamnya dalam keadaan suci kecuali malaikat menghabiskan malam itu bersamanya. Dan apabila hamba itu berpusing di waktu malam, malaikat itu berkata: “Ya Allah, ampunkan hambaMu, kerana dia tidur dalam keadaan bersuci.” (HR Tabarani, al-Mu`jam al-Kabir)
Hadis ini merupakan satu peringatan yang mudah tapi berkuasa. Ia menunjukkan bagaimana Allah SWT memberikan kita pelbagai peluang dan cara untuk mendapat pahala dan keampunan.
Ramai di antara kita yang minta orang lain doakan kita di saat kesusahan, tapi sayangnya kita tidak ambil peluang untuk malaikat mendoakan kita setiap malam ketika kita tidur.
Marilah kita hidupkan semula Sunnah yang semakin dilupakan ini. Jadikan ia sebahagian daripada rutin harian kita dan jadikan masa rehat kita sebagai masa malaikat mendoakan kita dengan izinNya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI