Wajah Terpapar Megah Di Papan Iklan New York Times Square, Siti Nurhaliza Catat Sebuah Lagi Kejayaan Karier Seninya!

Share

Selepas berjaya mengalahkan penyanyi terkenal Celine Dion dan Alicia Keys dalam senarai artis paling banyak meraih anugerah, kini penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencatatkan sebuah lagi kejayaan dalam diari seninya apabila wajahnya terpapar megah di papan iklan tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Menerusi laman Instagram penyanyi kesayangan ramai yang lebih mesra dengan panggilan Tok Ti ini, beliau merakamkan ucapan penghargaan apabila dipilih untuk mewakili negara bagi kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital, Spotify.

Bersyukur saya dapat berita hari ini kerana diberi penghormatan apabila wajah saya dipaparkan di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Menurut Tok Ti, penampilannya dalam kempen ini merupakan salah satu inisiatif untuk meraikan kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita di seluruh dunia.

Penampilan saya mewakili negara Malaysia pada papan iklan ini adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.

Kongsinya lagi, Tok Ti merupakan salah seorang artis yang mewakili senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura. Sekadar info, beliau merupakan warga Malaysia kelima menghiasi papan iklan tersohor itu selepas Yuna, Aina Abdul, Layla Sania, DOLLA dan Iman Troye.

Kempen EQUAL dari Spotify yang telah dilancarkan pada tahun lepas, 2021 sempena meraikan Hari Wanita Sedunia, berjaya menaikkan lagi nama-nama artis wanita dari seluruh dunia. Menurut data dari Spotify, sebanyak 13 juta jumlah jam yang mendengar hasil impak besar dari kempen ini. 

Malah kempen ini juga berjaya mewujudkan 35 playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 buah negara termasuklah negara Jepun, Argentina, Brazil, Portugal, Thailand dan lain-lain lagi.

Sumber gambar: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista.

Klik di sini.

 

Published by
Putra