Walaupun wanita ini kelainan upaya (OKU) apabila dilahirkan tanpa tangan, namun Puan Nor Farrah Syahirah Shah membuktikan itu semua tidak menjadi halangan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan juga mampu melakukan apa yang orang lain boleh buat.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Azmiah Mahmud di YouTube, Syahirah yang merupakan seorang staf di Kolej Komuniti Teluk Intan telah membuatkan pelajar-pelajar di tingkatan 3 di SMK Tiwa terpukau dengan kemahirannya memakai hijab dengan kemas dengan menggunakan kaki.
Bukan itu sahaja, beliau siap berkongsi cara melilit selendang dengan mudah dan juga meletakkan kerongsang padanya. Selain itu, beliau juga cekap memandu kereta. Hebatnya!
Sememangnya kecekalan dan semangat Syahirah membuatkan ramai yang terinspirasi melihatnya. Beliau juga membuktikan pada semua yang kelainan bukanlah satu halangan dan kekurangan tetapi ia bisa menjadi kelebihan yang tiada pada orang lain.