Ustazah Asma’ Harun Kongsi Doa Sebelum & Selepas Tegur Kesilapan Orang Lain

Share

Apabila melihat orang-orang terdekat seperti ahli keluarga, adik beradik, rakan baik dan juga rakan sekerja membuat kesilapan, terdetik dihati untuk memberi teguran. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk memperbetulkan keadaan, tiada maksud tersembunyi.

Namun apa yang menjadi masalah ialah kita takut dan bimbang jika orang yang kita beri teguran itu akan terasa hati. Lalu bagaimana dan apakah yang perlu dilakukan agar orang-orang yang kita sayang itu tidak terus melakukan kesalahan? Berikut perkongsian Ustazah Asma’Harun

Bagaimana untuk menegur kesilapan orang lain tanpa terasa hati, sama ada orang dekat atau jauh, melalui tulisan atau perkataan. Jika tidak mahu individu itu terasa, jangan tegur tapi mesti kuatkan dengan doa yang berterusan dan bersungguh-sungguh.

Namun jika sangat perlu untuk membuat teguran, maka tak boleh lari daripada terasa hati. Ingatlah, memberi nasihat, teguran, apatah lagi jika mencegah kemungkaran adalah satu amalan dan ibadah yang sangat mulia dan dituntut, InsyaAllah. Jadi apa yang boleh dibuat?

Photo by mentatdgt from Pexels

1) Ikhlaskan hati, jika benar kita ingin menegur kerana Allah dan untuk kebaikannya, bukan kerana hawa nafsu atau iri hati kita, maka InsyaAllah ia akan sampai ke hati. Ini yang paling susah sebenarnya.

2) Berdoa dan mohon pertolongan daripada Allah swt sebelum memberi teguran:

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

“Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”

(Surah Thoha: 25-28)

Ia adalah doa Nabi Musa A.S ketika berdepan dengan firaun, untuk memberi nasihat, berhujah dan menyampaikan dakwah.

3) Berdoa sekali lagi setelah teguran diberikan:

رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya, “…Ya Allah, berikanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini.” (Al-Kahfi:10)

Photo by mentatdgt from Pexels

4) Bersedia untuk individu yang ditegur bertindak balas seperti marah, menyakitkan hati, memerli atau menuduh dengan pelbagai tohmahan. Pada saat ini, janganlah bersedih dan putus asa, terus ulang doa no.3 di atas. InsyaAllah akhirnya teguran akan diterima.

Jika benar kita tegur kerana Allah SWT dan mengharapkan redhaNya, maka kita takkan kecewa jika tindakbalas yang kita perolehi menyedihkan. Pujuklah hati:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, karena kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”(Surah Ali Imran [3]: 139).

HIJABISTA: Jika hendak membuat sebarang teguran pada orang lain, biarlah secara empat mata, bukan secara terbuka kerana ia akan membuka aib orang yang anda hendak beri teguran selain menjaga air muka yang ditegur.

Sumber kredit: Ustazah Asma’Harun Top image: Photo by mentatdgt from Pexels

Published by
Norhasliza