Tular isu inai tidak sah solat di media sosial buat ramai tak senang duduk, berdebat tanpa rujukan mereka yang berilmu pastinya ia tidak akan berpenghujung. Belum bersedia mengulas isu ini para agamawan salah satunya penceramah bebas Ustazah Asma Harun tidak terlepas diundang untuk mengulas perbincangan ini.
“Alhamdulillah.. setelah selesai manasik Haji, saya mula buka FB. Kemudian nampak banyak juga perbincangan tentang INAI. Saya belum ada niat nak sentuh apatah lagi nak kupas, namun tiba-tiba ternampak posting yang viral, termasuk yang di ‘print screen’ dan disebarkan, rupanya ada nama saya . Jadi perlu dijernihkan kekeruhan.”
Tidak menunding mana-mana jenama yang menjual inai, Ustazah Asma Harun bimbang disebarkan tidak tepat dan boleh jatuh fitnah sebelum keluar kenyataan rasmi. Perlu ada tindakan segera pada mana-mana pihak berkenaan untuk bertindak dengan segera agar tiada kekeliruan.
“Begini ya, saya tidak pernah menyebut secara khusus mana-mana jenama inai (banyak sangat jenama), apa yang disebut adalah secara umum sebelum viral jualan dan pemakaian inai seperti hari ini. Seeloknya kita ambil langkah berhati-hati, tunggu kenyataan rasmi. Bimbang yang disebarkan adalah tidak tepat, boleh jatuh fitnah. Dan jika benar, maka tindakan segera pihak-pihak perlu dibuat.”
Rancak berborak di media sosial, saranan pihak perniaga agar mempercepatkan proses bagi membuktikan produk dipakai tanpa was-was. Dalam pada itu warganet disarankan tidak meneruskan perbincangan dengan menulis dengan penuh emosi.
“Semoga pemilik semua produk inai, semua, bukan hanya yang viral sahaja, perlu buat pengesahan dan pembuktian agar penjual dan pengguna rasa tenang, was-was akan meragut ketenangan walaupun belum ada bukti jelas. Moga semua pihak boleh mengawal emosi dan menjaga adab dalam menuliskan apa-apa komentar.”
Ada hikmah apa yang berlaku, ia menunjukkan tahap keperihatinan muslimah kita berada di tahap yang baik, secara tidak langsung semua peniaga inai juga berhati-hati. Semoga ada pencerahan segera.
Assalamualaikum wbt pihak SS Datuk Mufti dan pasukan kerja, maaf mengganggu. Sebelum ini saya pernah menanyakan soalan yang sama, cuma maklumatnya kurang lengkap. InsyaAllah kali ini saya sudah mendapat maklumat yang lebih terperinci daripada pihak founder.
[Situasi]:
Pada malam raya, saya telah memakai inai celup, yang kini viral dan menjadi pilihan wanita kerana sifatnya yang mudah dan segera. Waktu saya memakai inai celup tersebut, saya dalam keadaan haid. Saya juga memahami konsep inai celup yang cepat merah dan cepat luntur juga warnanya, lebih-lebih lagi bila kita kerap bermain dengan air dan sabun.
Kemudian, selepas 2-3 hari, saya perasan bahawa apabila jari saya kena air dan sabun, warna inai luntur, tapi dalam bentuk lapisan warna. Ya, saya yakin inai ini membentuk coating layer pada jari saya, sekaligus menghalang air sampai ke kulit saya. Namun, coating layer ini hanya terbentuk pada kawasan jari sahaja. Di kawasan kuku, warnanya nampak sekata dan tidak tertanggal seperti yang berlaku di kulit jari. Ini menambahkan kemusykilan saya, adakah inai celup ini kalis air atau tidak.
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ia mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, jilid 3, hlm. 89-90]
Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ. قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ. يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?” Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda SAW berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
(Riwayat Abu Daud, 4166)
Wanita di zaman Nabi SAW berurusan di sebalik tabir sehingga ada keperluan untuk membezakan. Juga kebanyakannya berada di rumah kecuali ada keperluan, dan memakai hijab yang tidak menampakkan perhiasan) – tambahan saya UAH.
Adakah pemakaian inai boleh menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib?
Inai atau nama saintifiknya ‘Lawsonia Inermis’ berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut). Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan di datangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain. Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.
Walau bagaimanapun, harus di fahami bahawa status kehalalan sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya. Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak. Adapun untuk menentukan pemakaian inai ini boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkaitan produk inai celup, iaitu pada menentukan kekalisan atau ketelapan air. Dalam hal ini hendaklah terlebih dahulu dilakukan ujian ke atas produk tersebut. Namun begitu, adalah disarankan jika sekiranya masih lagi wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebut adalah lebih baik dirujuk secara langsung kepada pihak Halal JAKIM.
Walau bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas, dapat disimpulkan; sekiranya di yakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang di maksudkan dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air. Iaitu ia menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.
Rujukan :
http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=743
Asma’ binti Harun