Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal berjaya menyentuh hati dan sanubari penonton yang hadir ke Konsert ‘Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda’ sewaktu menyampaikan tazkirah pada konsert sambutan tahun baharu 2023.
Pada sesi tazkirah yang mengambil tempat di Pusat Konvensyen Sime Darby itu, Ustaz Don sendiri gagal menahan air matanya ketika sedang menceritakan kisah Rasulullah SAW sewaktu baginda menghadapi sakaratul maut dan kemudian wafat.
Apa yang lebih memeranjatkan apabila, Ustaz Don tidak menangis keseorangan kerana ramai pengunjung dan penonton juga gagal mengawal emosi masing-masing.
Para Pengunjung turut menitiskan butir-butir air mata keinsafan, tatkala mendengar kisah perjuangan pemimpin terulung yang tiada tandingannya yang selayaknya menjadi inspirasi dalam kehidupan setiap umat Islam.
Menurut laporan akhbar tempatan, gaya dan penyampaian Ustaz Don pada konsert itu begitu juga memainkan peranan, terutama ketika berkongsi tentang keperibadian Nabi Muhammad SAW.
Gaya penyampaian yang menarik ini, sekaligus berjaya memikat hati penonton tanpa mengira usia, malah rata-rata penonton yang hadir seramai 500 orang begitu tekun mendengar tazkirah yang disampaikannya.
Selain itu, ‘Konsert Agungnya Cinta: Menyusuri Sirah Baginda’ ini adalah satu inisiatif yang digarap untuk tampil dengan alternatif berbeza bagi meraikan sambutan ambang tahun baharu yang penuh dengan pengisian kerohanian.
Konsert ini berbeza dengan konsert sambutan tahun baharu yang lain kerana menampilkan bukan sekadar hiburan semata-mata, dalam masa yang sama konsert ini bertujuan mendidik hati setiap penonton agar mencintai Nabi Muhammad SAW.
Malah, selain pengisian kerohanian penonton yang hadir juga turut dihidangkan dengan pelbagai persembahan memukau daripada penyanyi nasyid terkenal tanah air seperti Raihan, UNIC dan Mirwana.
Penyanyi lagu Sumpah, Naim Daniel juga turut kelihatan bagi memeriahkan konsert yang berlangsung selama tiga jam itu.
Artikel berkaitan: Tiket Konsert ‘Padi Reborn 25 Years’ Licin! Sebahagian Keuntungan Disalur Pada Asnaf
Persembahan dan pengisian konsert itu, turut diselang-seli dengan tazkirah oleh dua pendakwah selebriti iaitu Ustaz Don Daniyal dan Imam Muda Megat Mohd Zaid.
Lebih menggamatkan suasana adalah penampilah khas, Man Raja Lawak juga melakukan sketsa dengan mendendangkan syair tradisi oleh Galuh Cendra Kirana.
Untuk rekod, konsert amal ini merupakan anjuran Afocus Media Ventures (AMV) dengan kerjasama Yayasan Unit yang berhasrat mahu meneruskan tradisi ‘konsert secara islamik’ penuh dengan perkongsian ilmu-ilmu ukhrawi sambil mendekatkan diri dengan sejarah para pemimpin Islam.
Justeru itu, sebarang acara yang memupuk semangat ‘mengenali Rasulullah SAW’ menerusi lagu mahupun tazkirah perlu dikekalkan dan terus disemai, agar kesedaran dikalangan orang ramai, khususnya umat Islam dapat dipupuk dalam diri individu dan juga masyarakat.
Sekadar info, sebahagian hasil sumbangan konsert bakal disalkurkan bagi tujuan kebajikan dan pendidikan insan-insan yang memerlukan.
Sumber: Instagram Don Daniyal & Harian Metro
Artikel berkaitan: Lincah Menyanyi Dan Menari Di ‘Konsert’ Tadika, Aksi Comel Aafiyah Persis Tok Ti.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.