Umur bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang pelajaran sekiranya seseorang itu mempunyai niat untuk belajar. Jangan pernah jadikan umur tua atau muda sebagai penghalang atau alasan untuk mencapai kejayaan.
Setiap kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan mudah tanpa usaha dan hasil kerja keras. Umpama menaiki tangga, selangkah demi selangkah kaki perlu diangkat untuk berada di puncak.
Begitulah kisah seorang wanita yang telah mengejutkan dunia, Joyce Viola DeFauw yang berusia 90 tahun; apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Illinois Utara walaupun usianya sudah menghampiri seratus tahun.
Di majlis konvekesyen Universiti Illinois Utara yang diadakan Ahad lepas, DeFauw dilihat berjalan melintasi pentas untuk menerima ijazahnya. Bukan itu sahaja, dia turut mengenakan gaun tamat pengajian hitam dan topi hitam yang dihiasi dengan bintang emas dan tulisan “Super Senior ’22”.
Katanya melalui GMA, dia berasa “sangat gembira dan bersyukur” kerana berjaya mengorak langkah besar ke hadapan. Dia juga berpesan kepada sesiapa yang mempunyai impian, teruskan mengejar impian tersebut dan jangan dibiarkan terkubur begitu saja.
“Banyak yang anda akan terlepas dalam hidup ini jika tidak benar-benar memanfaatkan peluang yang ada,
“Teruskan, jangan berputus asa. Anda mungkin ingin mengalah tetapi tetaplah bertahan kerana penghujung pasti tiba dan anda akan menjadi pemenang,” ” kata Joyce Viola DeFauw melalui satu temubual bersama GMA.
DeFauw pada awalnya mendaftar di Universiti Illinois Utara pada tahun 1951, dalam jurusan Pendidikan Rendah dan Ekonomi Rumah Tangga. Dia ‘tercicir’ selepas tiga setengah tahun apabila dia memutuskan untuk berkahwin dan memulakan keluarga dengan suami pertamanya.
Setelah kematian suami pertamanya, DeFauw telah berkahwin semula dan mempunyai ramai anak. Meskipun ibu kepada sembilan orang anak yang kini juga nenek kepada 17 dan moyang kepada 26 cicit itu ‘sibuk’ menguruskan keluarga selama bertahun-tahun, tetapi dia tidak pernah melupakan impiannya.
Dia telah memberitahu anak-anaknya bahawa dia menyesal tidak menghabiskan pengajian pada tahun 1950-an dahulu. Kemudian, anak-anaknya telah mencadangkan untuk dia kembali meneruskan pengajaran.
“Jadi mereka meminta saya kembali dan saya fikir, ‘Baiklah,’ tetapi saya memerlukan komputer… dan mereka membeli saya satu & saya dapat menggunakannya serta berasa seronok sejak itu...”
Artikel Berkaitan: OKU Bukan Halangan Untuk Berjaya, Kisah Hijabi Ini Cetus Inspirasi
Wanita yang tinggal di Geneseo, Illinois itu telah mendaftar semula di NIU pada pertengahan tahun 2019 dan mula mengikuti kursus dalam talian Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Am dengan Kolej Seni dan Sains Liberal di universiti tersebut.
Bercerita mengenai pahit getir menghabiskan pengajian, DeFauw mendedahkan bahawa dia sering bergelut dengan kursus dan banyak menghabiskan masanya dengan menyiapkan segala tugasan pada setiap hari.
“Kami (rakan sekelas) bertukar idea melalui komputer dan saya mempunyai pengajar yang hebat yang banyak membantu serta membimbing saya. Dengan dorongan semua orang seperti rakan, keluarga, dan guru jadi saya tidak boleh berputus asa,” katanya lagi.
Kisah wanita tersebut telah berjaya menarik perhatian ramai. Bahkan, Presiden Universiti Illinois Utara, Dr. Lisa Freeman telah memuji DeFauw sebagai “inspirasi” untuk orang lain.
“Joyce DeFauw adalah seorang inspirasi, perintis, dan kini graduan Universiti Illinois Utara.
“Dia telah membuktikan bahawa memperoleh ijazah mengubah hidup pada mana-mana umur, dan tidak pernah terlambat untuk mempelajari perkara baharu.” ujarnya.
Artikel Berkaitan: Hijabi Ini Tak Kekok Langsung Sekelas Dengan Bapa Sendiri. Seronok Sambut Hari Graduasi Bersama!
MasyaAllah, wanita ini sememangnya telah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai impian. Dengan usaha serta dorongan orang sekeliling, perkara mustahil semestinya boleh dicapai!
Sumber: Good Morning America
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.