Urus Jenazah Semasa Banjir Satu Kewajipan! Ini 4 Cara Yang Perlu Dilakukan Menurut Ustazah Asma’

Share

Pengurusan jenazah bukanlah suatu perkara baharu. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam anutan lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia.

Semua orang bakal berdepan situasi ini jika ada ahli keluarga, saudara-mara mahupun tetangga yang meninggal dunia. Namun begitu, dalam musim banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di seluruh negara, situasi pengurusan jenazah ini agak sukar untuk disempurnakan.

Bencana banjir yang melanda beberapa tempat di negara kita baru-baru ini memang meruntun hati pelbagai pihak. Ramai mangsa banjir yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah kerana bencana alam tersebut. Bukan sahaja diuji dengan kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda, malah ada antara mereka yang diuji dengan pemergian insan tersayang.

Ketika berada dalam situasi ini, satu perkara yang sering menjadi tanda tanya adalah bagaimana cara mahu menguruskan jenazah di kawasan yang masih dilanda banjir.

Salah seorang penceramah bebas iaitu Ustazah Asma Harun, yang banyak berkongsi kemusykilan soal jawab agama tidak terlepas untuk mengulas mengenai isu ini. Ustazah Asma’ telah tampil memberikan pencerahan menerusi satu perkongsian di Facebook

baru-baru ini.

Fardu kifayah

Memetik coretan Ustazah Asma’, menguruskan jenazah semasa banjir adalah satu kewajipan dan ia termasuk dalam fardhu kifayah bagi masyarakat di sesuatu tempat. Kewajipan itu hanya akan terangkat apabila ada sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.

Ijma’ Ulama bersepakat bahawa setiap individu yang TIDAK mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram WAJIB bagi mereka diuruskan dengan empat perkara ini:

  1. Dimandikan
  2. Dikafankan
  3. Disolatkan
  4. Dikebumikan

Artikel berkaitan: Bergaul Bukan Mahram Dan Bertudung, Pesta Halloween Disambut Baik Negara Islam. Ustazah Asma Harun bimbang… 

4 cara pengurusan jenazah ketika banjir

Berikut adalah penjelasan dan huraian Ustazah’ Asma mengenai empat perkara tersebut:

#1 Memandikan jenazah

Dalam situasi banjir, dibolehkan bagi seseorang menggunakan air banjir untuk memandikan jenazah. Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya, jika tidak ada maka diharuskan yang berlainan jantina menguruskannya.

Sekiranya pusat penempatan banjir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi atau air hanya cukup untuk keperluan asas sahaja seperti air minum, jenazah boleh ditayamumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah. Orang yang menguruskan jenazah tersebut perlulah menekap atau menepuk tanah dengan tangannya, kemudian menyapu ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut.

Tambahnya, keadaan darurat dan situasi sulit seperti banjir yang menyebabkan simpanan air bersih perlu digunakan untuk keperluan-keperluan asas yang lain seperti air minum menjadikan tayammum dijadikan rukhsah atau keringanan oleh syara’.

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu).” (Surah al-Maidah: 6)

#2 Mengkafankan jenazah

Kafan yang dituntut oleh syarak adalah kain putih yang mencukupi untuk menutup aurat jenazah. Sunat tiga lapis kain putih bagi jenazah lelaki dan lima lapis kain putih bagi wanita. Sekiranya menghadapi kesukaran menyediakan kain kafan yang mencukupi atau yang bewarna putih ketika di dalam situasi banjir, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah sekadar untuk menutup jenazah sahaja.

Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian dan kafankanlah yang mati di kalangan kamu dengannya.” (HR Tirmizi, hadis Sahih)

#3 Sembahyang jenazah

Gambar sekadar hiasan

Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda :

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِيَ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ

 

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda atas kematian al-Najasyi lalu baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir.”

(HR Muslim, Hadis Sahih)

#4 Mengebumikan jenazah

Jenazah yang sudah disolatkan wajib dikebumikan di kawasan perkuburan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak dapat diuruskan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskannya. Sekiranya tidak berjaya, maka perlu dilakukan perkara-perkara berikut:

  • Dikebumikan di mana-mana kawasan atau tanah yang boleh didapati. Setelah banjir surut, jenazah tersebut perlu dipindahkan oleh pihak berkuasa agama negeri ke tanah perkuburan yang disediakan sekiranya diperlukan. Atau;
  • Menyimpan jenazah di tempat yang sesuai dalam suatu tempoh yang dirasakan tidak akan membusuk sehingga banjir reda dan dikebumikan setelah itu. Atau;
  • Menghanyutkan jenazah dengan harapan agar ada orang yang menguruskan jenazah itu ketika menemuinya. Atau;
  • Melakukan apa-apa alternatif lain untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan memudaratkan orang awam.

Artikel berkaitan: Supaya Konsisten Buat Kebaikan, Amalkan Tip Yang Ustazah Asma’ Harun Kongsi 

MasyaAllah, semoga perkongsian Ustazah Asma’ ini dapat dimanfaatkan oleh semua. Buat yang sedang diuji dengan musibah banjir, semoga diberi kekuatan dan dimudahkan segala urusan. Amin.

Sumber: Facebook

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira