Pengurusan jenazah bukanlah suatu perkara baharu. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam anutan lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia.
Semua orang bakal berdepan situasi ini jika ada ahli keluarga, saudara-mara mahupun tetangga yang meninggal dunia. Namun begitu, dalam musim banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di seluruh negara, situasi pengurusan jenazah ini agak sukar untuk disempurnakan.
Bencana banjir yang melanda beberapa tempat di negara kita baru-baru ini memang meruntun hati pelbagai pihak. Ramai mangsa banjir yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah kerana bencana alam tersebut. Bukan sahaja diuji dengan kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda, malah ada antara mereka yang diuji dengan pemergian insan tersayang.
Ketika berada dalam situasi ini, satu perkara yang sering menjadi tanda tanya adalah bagaimana cara mahu menguruskan jenazah di kawasan yang masih dilanda banjir.
Salah seorang penceramah bebas iaitu Ustazah Asma Harun, yang banyak berkongsi kemusykilan soal jawab agama tidak terlepas untuk mengulas mengenai isu ini. Ustazah Asma’ telah tampil memberikan pencerahan menerusi satu perkongsian di Facebook baru-baru ini.
Fardu kifayah
Memetik coretan Ustazah Asma’, menguruskan jenazah semasa banjir adalah satu kewajipan dan ia termasuk dalam fardhu kifayah bagi masyarakat di sesuatu tempat. Kewajipan itu hanya akan terangkat apabila ada sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.
Ijma’ Ulama bersepakat bahawa setiap individu yang TIDAK mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram WAJIB bagi mereka diuruskan dengan empat perkara ini:
Berikut adalah penjelasan dan huraian Ustazah’ Asma mengenai empat perkara tersebut:
#1 Memandikan jenazah
Dalam situasi banjir, dibolehkan bagi seseorang menggunakan air banjir untuk memandikan jenazah. Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya, jika tidak ada maka diharuskan yang berlainan jantina menguruskannya.
Sekiranya pusat penempatan banjir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi atau air hanya cukup untuk keperluan asas sahaja seperti air minum, jenazah boleh ditayamumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah. Orang yang menguruskan jenazah tersebut perlulah menekap atau menepuk tanah dengan tangannya, kemudian menyapu ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut.
Tambahnya, keadaan darurat dan situasi sulit seperti banjir yang menyebabkan simpanan air bersih perlu digunakan untuk keperluan-keperluan asas yang lain seperti air minum menjadikan tayammum dijadikan rukhsah atau keringanan oleh syara’.
Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu).” (Surah al-Maidah: 6)
Ads
#2 Mengkafankan jenazah
Kafan yang dituntut oleh syarak adalah kain putih yang mencukupi untuk menutup aurat jenazah. Sunat tiga lapis kain putih bagi jenazah lelaki dan lima lapis kain putih bagi wanita. Sekiranya menghadapi kesukaran menyediakan kain kafan yang mencukupi atau yang bewarna putih ketika di dalam situasi banjir, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah sekadar untuk menutup jenazah sahaja.
Maksudnya: “Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian dan kafankanlah yang mati di kalangan kamu dengannya.” (HR Tirmizi, hadis Sahih)
#3 Sembahyang jenazah
Gambar sekadar hiasan
Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda atas kematian al-Najasyi lalu baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)
#4 Mengebumikan jenazah
Jenazah yang sudah disolatkan wajib dikebumikan di kawasan perkuburan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak dapat diuruskan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskannya. Sekiranya tidak berjaya, maka perlu dilakukan perkara-perkara berikut:
Dikebumikan di mana-mana kawasan atau tanah yang boleh didapati. Setelah banjir surut, jenazah tersebut perlu dipindahkan oleh pihak berkuasa agama negeri ke tanah perkuburan yang disediakan sekiranya diperlukan. Atau;
Menyimpan jenazah di tempat yang sesuai dalam suatu tempoh yang dirasakan tidak akan membusuk sehingga banjir reda dan dikebumikan setelah itu. Atau;
Menghanyutkan jenazah dengan harapan agar ada orang yang menguruskan jenazah itu ketika menemuinya. Atau;
Melakukan apa-apa alternatif lain untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan memudaratkan orang awam.
MasyaAllah, semoga perkongsian Ustazah Asma’ ini dapat dimanfaatkan oleh semua. Buat yang sedang diuji dengan musibah banjir, semoga diberi kekuatan dan dimudahkan segala urusan. Amin.
Ramai yang gemar memilih memandu pada waktu malam. Alasannya kerana inginkan suasana sejuk dan lebih santai. Selain itu alasan lain yang sering menjadi penyebab untuk melakukan pemanduan pada waktu malam dan juga awal pagi ialah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Perlu difahami bahawa memandu sendirian punya risiko yang tersendiri. Kemungkinan kereta rosak, berlaku kemalangan dan sebagainya. Oleh itu amat penting buat mereka yang sering memandu seorang diri terutama pada waktu malam dan juga awal pagi untuk sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga status lokasi perjalanan.
Hari ini kita mendapat berita sedih tentang penemuan sebuah kenderaan jenis MPV yang tenggelam bersama pemandunya di dalam sebuah sungai berhampiran Kuantan, Pahang.
Pemandu di dalam kenderaan itu telah disahkan identitinya sebagai pemuda yang dilaporkan hilang sejak 10 bulan yang lalu. Pemuda berkenaan terakhir dikesan bertolak dari Johor ke Terengganu. Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga pemandu berkenaan.
Kes kehilangan individu akibat kemalangan melibatkan kemalangan umpama ini berlaku kerana ketiadaan saksi dan melibatkan kawasan yang terlindung (sungai, gaung, dan sebagainya).
Bagi mengurangkan risiko insiden seperti ini berlaku, kita boleh lalukan perkara ini, terutamanya bila memandu seorang diri untuk perjalanan jauh di waktu malam dan di kawasan yang sunyi.
Kemasikini keberadaan kita secara langsung menggunakan aplikasi WhatsApp. Caranya:
1. Buka WhatsApp dan pilih individu yang hendak dimaklumkan. Boleh pilih individu mahupun group.
2. Di tetingkap individu/group berkenaan. Tekan butang kongsi (ikon klip kertas). Rujuk gambar ke-3.
3. Di tetingkap pilihan jenis kepilan(attachment), tekan butang lokasi (ikon pin lokasi). Rujuk gambar ke-4.
4. Di tetingkap lokasi, tekan butang kongsi lokasi live(ikon pin bergerak). Rujuk gambar ke-5.
5. Di tetingkap lokasi live, tekan tempoh yang sesuai dengan masa perjalanan. Rujuk gambar ke-6.
6. Lokasi akan dikemaskini secara live. Kemaskini boleh dihentikan setelah tiba di destinasi.
Andai kata individu atau grup mendapati lokasi pemandu yang dalam perjalanan tidak berubah dalam tempoh yang diragui, segera hubungi pemandu untuk kepastian.
Andai pemandu tidak dapat dihubungi atau kemaskini terhenti tanpa sebarang makluman dari pemandu untuk masa yang lama, maka pertimbangkan untuk hubungi pihak berkuasa.
Semoga dipermudahkan perjalanan, dan dilindungi dari musibah.
Pencipta kandungan (Content Creator) di Media Sosial boleh diibaratkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing berlumba mencipta kandungan demi secebis viral.
Namun, HIJABISTA amat terinspirasi dengan cara bekas peserta rancangan realiti TV, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene, Rafidah Ibrahim yang kini giat mencipta ‘content’ mengajak orang ramai ke arah kebaikan.
Selesa disapa Fida, tidak dinafikan followers di media sosial anak seni ini juga semakin meningkat naik selepas ramai menyedari kandungan video bermanfaat yang dihasilkannya.
Mahu Lebih Ramai Masyarakat Cakna Sunnah, Fahami Islam
Mengulas inisiatif murni tersebut yang mahu membantu lebih ramai masyarakat memahami sunnah dan berbuat baik, Fida ketika dihubungi berkongsi kisah di sebalik kejayaan content video yang dilaksanakan.
Fida menjelaskan semuanya bermula selepas ibu tersayang, Norimah Derani meninggal dunia pada Mei 2017.
“Sebenarnya since 2017 lepas mak meninggal dunia, Fida ambil keputusan untuk tak aktif media sosial dan lebih kepada muhasabah diri.
“Waktu tu Fida banyak dengar ceramah-ceramah dalam YouTube sampai la satu hari tu Fida tekad untuk jumpa salah sorang ustaz yang Fida dengar iaitu Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi.
“Ustaz Jafri banyak berkongsi amalan dan sunnah. Lepas dari tu, banyak yang Fida belajar untuk baiki diri dengan ikut syariat. Rupanya banyak yang Fida sendiri terlepas pandang sampai la Fida keguguran anak kedua pada Jun 2022.
“Dari situ, Fida terfikir mungkin kat luar sana juga sama macam Fida yang sangat memerlukan ilmu untuk kehidupan seharian yang kita dah tinggalkan atau dah tak jadi kebiasaan.
Dan Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakan di media sosial berkaitan amalan doa-doa pendek dan sunnah ini. Content-content yang Fida buat kebanyakannya basic harian dalam kehidupan kita.”
Tidak memuat naik video tanpa fakta yang sahih, Fida akui dia terlebih dahulu memahami ilmu daripada sumber yang betul sebelum dikongsikan kepada umum.
“Rujukan Fida selain daripada ceramah-ceramah ustaz yang Fida dengar, adalah melalui website (mufti Malaysia) dan buku-buku rujukan seperti ‘Indahnya Hidup Bersyariat – Ustaz Ismail Kamus’, As Syamail Al Muhammadiyah – Imam At-Tarmidzi’, kitab-kitab dari Ustaz Jafri dan seumpamanya.
Fida mula belajar sedikit-sedikit pada 2017 dan waktu keguguran tu ada lagi ilmu baru yang Fida belajar. Jadi Fida kongsikan dalam media sosial dan tak sangka rupanya ada juga yang tak tahu macam Fida.
Dari situ, Fida terfikir why not kongsi apa yang Fida belajar sebab Abi-Ustaz Jafri ada pesan, kalau ada orang lain pun nak hijrah, kita kena bantu, jangan biarkan mereka tanpa arah dan kita seharusnya bagi galakkan.”
Fida Tak Sangka, Kandungan Video Tular Hingga Ke Luar Negara
Tambahnya lagi, perkongsian berkenaan bukan hanya diterima baik masyarakat di negara ini bahkan di luar negara termasuk Thailand dan Papua New Guinea.
“Alhamdulillah rata-rata followers Fida di Malaysia dan Indonesia (juga tak ketinggalan followers dari Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Thailand) sangat supportive.
“Ada yang komen di public dan ada juga yang personal mesej, ramai yang mendoakan supaya Fida teruskan dengan perkongsian yang memberi manfaat buat semua,” ujarnya.
Untuk rekod, Rafidah Ibrahim sah bergelar isteri kepada Shahzemir Shahzulkarib pada 5 Mei 2021.
Pernah membintangi drama Epilog Syurga Cinta dan popular menerusi lagu duet ‘Apo Kono Eh Jang’ bersama Datuk AC Mizal, Fida kini lebih aktif di media sosial dan memperlahan karier seninya.
Semoga perkongsian bermanfaat ini menjadi inspirasi dan melahirkan lebih ramai masyarakat berilmu!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA!
Perasaan sedih menyelubungi diri pelakon, Syatilla Melvin apabila dia memaklumkan bahawa baharu sahaja mengalami keguguran ketika kandungannya itu berusia lapan minggu.
Luah Syatilla atu lebih mesra disapa Tilla, dia dan suami, Shaheizy Sam sedih dengan keadaan ini namun akur dengan ketentuan Ilahi.
“Tilla mengandung anak ketiga tapi tiada rezeki untuk anak ini kerana keadaannya tidak berkembang dan tidak sempurna. Dia masih ada di dalam kandungan dan Tilla sedang menunggu untuknya keluar secara semula jadi. Jika tidak, terpaksalah lakukan proses dilation and curettage (DNC),” katanya.
Jelas Tilla, anak sulungnya iaitu Syeriv Samheizy juga sudah begitu teruja menantikan kelahiran adiknya ini dan saban hari tidak jemu mencium perutnya.
“Sebenarnya Tilla baru berniat untuk berpuasa penuh tapi mungkin tidak dapatlah pada kali ini. Sepatutnya kelmarin Tilla buat check up untuk dengar degupan jantung dan perkembangannya tapi bila doktor periksa dia kata memang tak jadi.
“Pada awalnya Tilla memang tidak merancang kandungan ini tapi bila dapat tahu hamil semestinya kami semua gembira. Syeriv pun hari-hari cium perut Tilla. Tapi bila dapat tahu mengenai perkara ini sedih jugaklah sebab baru sahaja rasa seronok dan bersedia untuk menantikan kelahiran ini Namun, tiada rezeki dan ini sebenarnya ada keguguran Tilla yang ketiga,” tambah Tilla,30.
Terdahulu, pengasas produk kosmetik Kekasih ini telah bernikah bersama Shaheizy Sam pada tahun 2016. Mereka telah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy,4, dan Sarima Samheizy,2.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA! Download seeNI sekarang!
Bagi Ahmad Dhani dan Mulan Jameela, Ramadan adalah masa yang istimewa. Mereka saling berkongsi pengalaman berkaitan menu untuk bersahur dan berbuka.Mulan berkongsi pengalaman pada...