Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut , menyarankan seluruh umat Islam di negara ini dan waris pesakit koronavirus (Covid-19) digalakkan menunaikan solat jenazah ghaib bagi pesakit yang meninggal dunia akibat pandemik itu.
“Tiap-tiap yang hidup pasti menemui kematian, maka berlaku ujian kita iaitu kematian akibat Covid-19. Jadi, saya mencadangkan selepas kita semua mengetahui ada kematian (akibat Covid-19) dan telah pasti dikebumikan mayat itu, maka semua umat Islam digalakkan menunaikan sembahyang jenazah ghaib di rumah masing-masing untuk si mati disebabkan Covid-19 ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noh berkata, walaupun ahli keluarga berdukacita atas kematian itu, namun ia mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat di mana ramai umat Islam akan mengadakan solat jenazah ghaib untuk si mati.
“Bayangkan kalau kematian biasa, biasanya yang hadir (melakukan solat jenzah) hanya paling tinggi 200 orang dan jarang sekali sembahyang ghaib, tetapi apabila berlaku kematian disebabkan Covid-19, apa kata umat Islam di Malaysia bersembahyang jenazah untuk si mati ini… pahalanya berganda-ganda,” katanya.
Beliau turut menasihati waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 supaya bersabar dan tidak berpanjangan dalam bersedih kerana kehidupan mesti diteruskan sepanjang temubual bersama Bernama.
Solat jenazah secara ghaib adalah solat yang dilakukan apabila jenazah tidak berada di sesuatu tempat sama ada kerana jenazah tersebut berada jauh atau kerana sebab lain seperti mayat tidak dijumpai kerana lemas atau musnah dalam kecelakaan.
Pensyariatan solat jenazah ghaib ini dilakukan bersandarkan kepada riwayat oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke tempat solat, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.” (Riwayat Al-Bukhari, no.1245 dan Muslim, no.951)
Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari.
Mengikut pandangan ulama Mazhab Syafie, jika mayat sudah dikebumikan dan seseorang masih belum melakukan solat jenazah ke atas mayat tersebut, maka sunat baginya untuk melakukan solat jenazah secara ghaib ke atas mayat tersebut.
Cara solat jenazah secara ghaib sama sahaja dengan solat jenazah biasa.
“Sahaja aku solat ke atas mayat ini fardhu kerana Allah Taala”
Sekalipun kita tidak berkesempatan untuk hadir untuk bersolat jenazah kerana faktor jarak yang jauh atau pun keadaan tidak mengizinkan (bimbang jangkitan virus menular), tetapi kelonggaran dan kemudahan yang dibenarkan untuk menunaikan solat jenazah secara ghaib boleh dimanfaatkan.
Solat dan doa lah yang menjadi penghormatan terakhir yang boleh dilakukan kepada orang yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.
Rujukan: Panduan Mengerjakan Solat Khas Yang Disediakan oleh UNISZA
SUMBER: Bernama & TZKRH