Buat julung-julung kalinya, Hijabista sebagai satu-satunya jenama majalah dan digital di Malaysia yang menjadi rujukan lengkap fesyen, gaya hidup dan kecantikan untuk fashionista bertudung membawakan rancangan realiti Ratu Hijabista.
Ujibakat secara dalam talian telah pun berlangsung selama 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2020. Lebih 500 penyertaan telah diterima namun hanya 50 peserta sahaja telah terpilih untuk menjalani proses ujibakat yang seterusnya.
Seramai 25 peserta terlibat dalam ujibakat pada hari pertama. Untuk sesi ujibakat hari ini, juri yang terlibat untuk mengadili para peserta terdiri daripada Pengurus Saluran Astro Prima Norzeha Mohd Salleh, Editor Pengurusan Majalah Hijabista Fiezreen Ahmad dan Juri jemputan, Puan Sri Normala Samsudin.
Pencarian Ratu Hijabista yang diadakan buat julung kali ini membuka peluang kepada semua wanita berhijab tanpa mengira status untuk mencuba nasib dan sekaligus mempertaruhkan bakat, rupa serta personaliti menarik untuk dinobatkan sebagai juara di penghujung pencarian.
Ratu Hijabista merupakan pencarian personaliti wanita berhijab yang boleh dijadikan inspirasi dan contoh positif kepada wanita-wanita di luar sana. Hijabista sebagai satu-satunya jenama majalah dan digital di Malaysia sejak tahun 2012 yang dikhususkan kepada golongan hijabi bermatlamat untuk terus memartabatkan wanita berhijab di Malaysia.
Program realiti Ratu Hijabista akan bersiaran selama sejam setiap minggu untuk lapan episod setiap Rabu bermula 12 Ogos 2020 jam 9 malam di saluran Astro Prima.
Pemenang Ratu Hijabista akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, tiara dan berpeluang menjadi penghias kulit majalah Hijabista keluaran Januari 2021.