Menyambut Aidilfitri dalam suasana normal kembali menjadi impian setiap insan. Aktiviti solat sunat hari raya di masjid, ziarah-menziarahi, dibenarkan namun perlu ada kesedaran untuk menjaga satu sama lain.
Kita menyambut lebaran mengikut kesuaian dengan normal baharu. Merayakan Aidilfitri ibarat meraikan hadiah daripada Allah SWT. Maka kita raikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan kesederhanaan.
Hukum memberikan ucapan Aidilfitri adalah harus pada hukum syarak. Jelasnya, ia bukan sunnah ataupun termasuk dalam perkara bid‘ah. Namun, ucapan sempena Aidilfitri sebahagian daripada bentuk atau konsep ucapan tahniah yang pernah berlaku di dalam sirah.
Diriwayatkan apabila Nabi saw memberitahu para sahabat bahawa taubat Ka‘ab bin Malik diterima oleh Allah swt setelah tidak menyertai peperangan Tabuk, maka Talhah bin ‘Ubaydillah bangun memberikan ucapan tahniah kepada beliau.
Justeru, amalan tahniah adalah harus pada perkara-perkara yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak. Sebagai contoh, ucapan tahniah di atas kejayaan dalam sesuatu peperiksaan, ujian dan seumpamanya.
Perkara-Perkara Sunat Pada Hari Raya Aidilfitri
1. Sunat memakai haruman bagi lelaki, manakala wanita tidak disunatkan kerana takut timbul fitnah. Sunat melalui jalan yang jauh ketika menuju ke masjid dan pulang melalui jalan yang dekat ketika pulang ke rumah.
2. Sunat menghidupkan malam Aidilfitri. Ambil peluang untuk menambah pahala dengan membaca al-Quran dan berzikir.
3. Sunat mandi berdasarkan hadis Ibnu Majah daripada Ibnu ‘Abbas ra.[2] Waktunya bermula apabila masuk separuh malam hari raya. Namun, sunat mandi selepas solat Subuh menurut Mazhab Shafi‘i, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Selepas mandi sunat memakai haruman dan pakaian yang baik, membersihkan dan menghilangkan bau badan serta memotong kuku. Individu yang tidak bercadang ke masjid untuk menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri juga turut sunat mandi kerana ia merupakan hari untuk bercantik-cantik dan berhias-hiasan.
3. Makmun disunatkan datang awal ke masjid dengan berjalan kaki, iaitu selepas solat Subuh sebelum terbit matahari jika tiada uzur. Hal ini berdasarkan kata-kata ‘Ali ra yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi. Manakala imam sunat datang lewat ketika solat hampir didirikan.
4. Sunat bersarapan sebelum bersolat kerana Rasulullah tidak keluar menunaikan solat kecuali selepas menjamah beberapa biji tamar berdasarkan hadis Anas yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.
5. Menzahirkan keceriaan, kemesraan pada wajah apabila bertemu dengan saudara Islam, ziarah-menziarahi demi menguatkan ikatan perpaduan dan ukhwah islamiyah.
6. Sunat menunaikan solat Aidilfitri di tanah terbuka seperti padang sekiranya masjid penuh menurut Mazhab al-Shafi‘i. Majoriti ulamak berpandangan bahawa solat Aidilfitiri sunat diadakan di padang bukan di masjid, kecuali di Makkah, ia sunat diadakan di Masjid al-Haram.
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Ini antara beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara kesilapan adab tersebut ialah:
- Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
2. Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
3. Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
4. Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
5. Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
6. Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
7. Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
8. Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
9. Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
10. Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
11. Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
12. Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
13. Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
14. Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
15. Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
HIJABISTA: Matlamat utama hari raya ialah supaya kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan.
Sumber kredit: Laman web rasmi Pusat Islam USM dan laman web rasmi pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by Rodnae Productions from Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI