Tutup Aurat Bukan Sekadar Selepang Hijab Ala Kadar Ke Bahu Dan Dililit Ditengkuk

Share

Menutup aurat biarlah sempurna janganlah dilakukan secara ala kadar sahaja. Hijab yang disarung dikepala bukan sekadar menutup rambut tetapi aurat yang dimaksudkan juga termasuklah menutup di bahagian dada. Namun hari ini ramai kaum wanita lebih terikut-ikut dengan gaya fesyen berbanding niat untuk menutup aurat itu sendiri.

Teguran Ustaz Farid Rashidi ini tentang trend pemakaian hijab di kalangan wanita ini usah dipandang sepi. Ia sebagai teguran agar kaum Muslimah tidak terus leka dengan tuntutan wajib menutup aurat seperti yang dituntut oleh syariat.

Trend anak gadis dan mak gadis pakai tudung atau shawl sekarang. Mereka selempang ala kadar ke bahu. Hanya sekadar lilit tengkuk. Singkat pula. Kemudian dibiar saja lepas. Angin datang menghembus, lalu terserlahlah tengkuk. Dada terdedah. Terkadang bukan sebab angin pun memang sengaja diselak.

Ya, sebab ada model dan instafamous yang ajar cara pakai sebegitu. Lalu cepat disebar luaskan.

Wahai Hawa, Islam tak pernah pun larang nak pakai shawl ke, shell ke, tudung bawal ke, siakap ke, ikan buntal ke, anak itik tok wi mandi dalam kolam ke. Terpulanglah. Asalkan menutup aurat, labuh menutup dada. 

Sedar tak, inilah permainan Iblis laknatullah. Liciknya Iblis Syaitan (termasuk orang kafir), akan sentiasa cari jalan bagaimana mahu sesatkan anak Adam. Tak kaum Adam, ditujunya pula kepada kaum Hawa. Plan A tak menjadi, diganti Plan B dan begitulah seterusnya.

TUTUP DADA SEKALI BUKAN SEKADAR TUTUP KEPALA

Lihat dalam masalah aurat, tak pernah habis isunya. Bila syariat melarang jangan berpakaian begini, dia buat pula begitu.

Firman Allah SWT:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudungnya ke dadanya. [Surah an-Nur: 31]

Menurut Tafsir Ibnu Kasir, Al-khumur (خُمُرِ) adalah bentuk jamak dari khimar, ertinya kain tudung yang dipakai untuk menutupi kepala (Apa jua alat alat yang boleh dipakai untuk menutup kepala, dan sebaik-baiknya ialah kain). Atau dikenali dengan sebutan muqani’ (مقنع), iaitu apa yang menutup kepala wanita.

Sa’id Ibnu Jubair telah mengatakan berkenaan dengan makna firman Allah SWT di atas, maknanya menutupi bahagian leher dan dadanya. Maka tidak boleh ada sesuatu pun dari bahagian tersebut yang nampak.

Kalimah Juyub (جُيُوبِ) pula bermaksud belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian atau baju.

Nah, al-Quran dan al-Hadis dah sebut lama benda ni. Malah ulama’ juga menerangkan dengan jelas daripada dalil qat’ei di atas betapa wajib seorang wanita muslim menutup tengkuk, belahan dada, dan dadanya juga menggunakan kain tudung.

Jangan bagi alasan kain tak cukup tau. Haa, gedung yang menjual kain serta pakaian wanitalah yang paling banyak dalam dunia ini. Malah kuasa membeli wanita lebih tinggi terutamanya dalam industri pakaian.

Lihatlah statistik ini. 

Fashionunited melaporkan global fashion industry dimonopoli pakaian wanita:

• Value of of the menswear industry: 402 billion dollars
• Value of the womenswear industry: 621 billion dollars

JANGAN JADI GOLONGAN AHLI NERAKA

Tak nak pakai kain tudung tutup dada konon nak hipster? Tutup guna guni bawang kedai runcit. Siap pakej bau bawang lagi.

Jadi, bermula hari ini tukarlah cara pakai supaya lebih selari dengan syariat. Kita tak mahu ibu, isteri, anak perempuan, adik beradik perempuan, mak cik termasuk dalam golongan ahli neraka sebagaimana

Rasulullah SAW sebutkan ini:

عن ابن عباس وعمران بن الحصين عن النبي ﷺ قال: اطلعت في الجنة فرأيت أكثر أهلها الفقراء، واطلعت في النار فرأيت أكثر أهلها النساء

Daripada Ibnu Abbas r.a dan Imran bin Husain r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah dibawa melihat ke Syurga lalu ku dapati kebanyakan ahlinya adalah orang fakir, aku telah dibawa ke neraka, lalu ku dapati kebanyakan ahlinya adalah wanita.” [Hadis Riwayat Bukhari, no.3241 dan riwayat Muslim, no.2737]

Allahhu Rabbi, takutkan? Semoga terjauhlah daripada golongan ahli neraka. Jauh sejauhnya.

Sumber kredit: FB:Farid Rashidi

Published by
Norhasliza