Walapun drama bersiri Isteri Untuk Disewa baru bersiaran, tetapi mengundang perbalahan di kalangan netizen di media sosial. Ramai yang seakan muskyil dengan title itu dan apakah ia dibolehkan dalam Islam. Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri dalam satu tulisannya menjawab berhubung persoalan ini di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Semoga dengan penjelasan yang diberikan Mufti Wilayah Persekutuan ini dapat menjelaskan kepada orang ramai berhubung kemusykilan ini.
Mukadimah
Alhamdulillah, kami rafa’kan segala kesyukuran kepada Allah atas pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada kita termasuklah negara yang aman dan makmur.
Kami mengambil prihatin dan cakna akan lambakan drama yang berkonsepkan santai, isu-isu kekeluargaan dan percintaan mutakhir ini. Secara umumnya sebagai penonton, kita harapkan drama atau filem yang berkualiti dan sarat dengan mesej, setanding dengan hasil seni peringkat antarabangsa.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa kami memilih “Isteri Untuk Disewa” dan bukan drama-drama lain? Ada beberapa sebab mengapa kami memilih drama ini:
- Persoalan daripada mustafti berhubung tajuk drama ini.
- Isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama ini.
Secara umumnya, kami rasakan drama ini baik kerana mengenengahkan satu unsur baru dalam plot yang keluar daripada kebiasaan drama-drama lain yang bertemakan konflik keluarga dan percintaan. Kami sama sekali tidak mempunyai sikap prejudis terhadap seni dan juga anak-anak seni. Ulasan kami ini adalah berdasarkan kepada beberapa babak yang ditayangkan dan menilainya semula dari sudut hukum-hakam.
Pertama: Tentang Tajuk
Kami nyatakan sepertimana berikut:
- Tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam.
- Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19. Firman Allah SWT,
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan bahawa ayat ini memerintahkan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.
- Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada Hukum Syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.
Kedua: Implikasi Hukum
- Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.
- Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.
- Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang diluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam. Ini sebagaimana kata Imam al-Nawawi berkata: “Nikah mut’ah tidak dibolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang bersifat mutlak. Maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa.” (Lihat al-Majmu, 17/356). Antara contoh bentuk nikah mut’ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu.” Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima.”
Penutup
Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.
Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel. Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita.
Sepertimana yang telah kami nyatakan di hadapan para artis dan selebriti tanahair dalam program “A Night With Mufti” di Istana Budaya pada Ramadhan lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanahair. “Dinding” antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.
Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik.
Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak. Tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata. Kami bacakan firman Allah SWT:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.
(Surah Hud: 88)
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,
Khamis 8 November 2018.
SUMBER: LAMAN WEB PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI