Tular Video Hijabi Suka Menari Kpop, Ustazah Asma’ Harun Berikan Teguran Lembut Buat Semua

Share

Baru-baru ini tular video mengenai seorang gadis hijabi Melayu Islam di Korea yang muncul di dalam temubual bersama agensi berita antarabangsa, BBC. Dalam video tersebut, dia mengakui sangat menggemari aktiviti menari biarpun berhijab.

Walau bagaimanapun, video tersebut mengundang kontroversi di kalangan netizen kerana dia mengaitkan agama Islam dan soal pemakaian hijab ketika menjawab soalan yang diutarakan buatnya.

Tampil membetulkan perkara yang salah, Ustazah Asma’ Harun memberikan teguran penuh berhemah buatnya agar kita semua turut mengambil iktibar daripadanya.

INI MEMANG CARA SAYA. SELAGI SAYA RASA APA YANG SAYA BUAT NI BETUL, SAYA RASA INI BUKAN SATU MASALAH.

Astaghfirullah. Allahu Akbar.

Baru-baru ini tular sebuah video mengenai seorang individu Melayu Islam yang muncul dalam video temubual bersama agensi berita antarabangsa, BBC. Individu ini mula popular apabila aktif dalam membuat video-video tarian KPOP di YouTube dan Tik Tok.

Namun yang lebih menarik perhatian ialah tentang penampilannya yang berhijab. Apabila ditanya oleh wartawan, beliau menjawab bahawa dia suka memakai tudung, tetapi dalam masa yang sama amat gemar dengan tarian KPOP.

“Bagi saya, inilah cara saya menjalani hidup. Selagi saya saya tak lukakan sesiapa, saya rasa ia tidak menjadi masalah.”

DUHAI ADINDA YANG DIKASIHI,

Saya menuliskan ini daripada hati yang kasih akan kamu. Sebagai seorang wanita Islam, cara hidup kita di atas bumi Allah ini bukan semata-mata bersandarkan kepada logik akal atau pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya menurut al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ﴿٣١﴾

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur 24: 30-31)

Jika kita sebut tentang tarian, pasti ia melibatkan pergerakan tangan, bahu, dada, kaki dan punggung yang berlatar belakangkan apa jua jenis muzik. Seharusnya video-video tersebut hanya disimpan untuk tatapan peribadi, tetapi hari ini ia dimuat naik secara terbuka untuk tatapan seluruh warga maya tanpa ada rasa segan dan silu.

Mungkin kita berbangga mendapat jutaan ‘followers’ dan ‘viewers’ apabila memuat naik video-video tarian, namun tidak terfikirkah andai satu hari nanti ingin bertaubat, dosa kita insyaAllah boleh terpadam dengan taubat nasuha, namun bagaimana dengan video-video tarian lama yang telah didownload oleh orang ramai?

Bagaimana pula jika tidak sempat bertaubat lalu ajal terlebih dahulu menyapa kita? Dosanya kita tanggung secara berterusan walau sudah berada di alam kubur😢

Allahu Akbar.

JARUM HALUS IDEOLOGI LIBERAL YANG MEMBAHAYAKAN.

“Saya bukan kacau orang pun, saya buat video saja, apa masalahnya…”

Sedar atau tidak, inilah antara bentuk normalisasi ideologi liberal yang perlahan-lahan mula meracuni pemikiran masyarakat kita.

Cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat berbahaya. Apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam.

Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.

Renungilah sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman.

Rasulullah SAW bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يا رَسُولَ اللّٰهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ

Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”

(HR Muslim, hadis sahih)

*Dhob – biawak padang pasir

Benar, Islam juga menggalakkan perkembangan seni di dalam agama itu sendiri selagi mana ia bermanfaat, namun mesti dalam lingkungan syariat yang tujuannya untuk memelihara kebaikan ummah, bukan sehingga melalaikan dan mendatangkan kesan negatif mahupun fitnah kepada ummat Islam khususnya.

Sungguh saya menuliskan ini daripada hati yang sayang akan kamu, apatah lagi usiamu masih muda remaja. Ingatlah bahawa kemasyhuran, pengaruh, bakat dan kecantikan bukanlah satu anugerah apabila digunakan untuk maksiat, sebaliknya ia adalah sebuah musibah.

Sedarkah kita, Sungguh Maha Baiknya Allah SWT, walau kita berbuat sesuatu yang dimurkai-Nya, Dia tetap memberikan segala yang kita mahu dan perlu. Maka balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Maaf saya lakukan teguran ini secara terbuka, kerana luasnya liputan video temu bual bersama pihak BBC tersebut. Saya bimbang ramai yang sudah menonton terutamanya anak muda lain yang merasakan tiada masalah lalu diambil sebagai pegangan hidup. Nauzubillah.

Saya bertanggungjawab dengan ruang yang Allah berikan kepada saya untuk melakukan nahi mungkar, iaitu mencegah kemungkaran. Jika saya hanya berbuat kebaikan (amar makruf) namun mengabaikan untuk mencegah kemungkaran, maka saya benar-benar menzalimi diri sendiri.

DUHAI PARA ‘INFLUENCER’ DI MEDIA SOSIAL

Ya, kalian diperlukan dalam pelbagai segi, namun bukan dengan cara begini. Kasihanilah diri sendiri, kita semua bakal mati, janganlah ditangguhkan lagi, hajat untuk kembali.

Adakah kalian lebih utamakan minat dan bakat? Tanpa mengambil kira soal berkat, sekalipun setiap saat ajal mendekat, maka takutlah kepada yang Maha Kuat, kerana Dialah sumber kebahagiaan, kesengsaraan, azab dan nikmat.

Atas tiket apa sekalipun, jadilah ‘INFLUENCER’ yang ada rasa tanggungjawab kepada masyarakat Islam, serta tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini. Usahalah untuk hentikan apa jua ‘content’ yang menjatuhkan nilai diri sebagai orang Islam lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita Muslimah.

Masih ramai ‘influencer’ dalam bidang hiburan yang membawa imej baik, berkaliber, bermaruah, menjaga batasan, namun tetap mampu bertahan dan berjaya dengan cemerlang. Jadikanlah mereka contoh tauladan.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya: “Siapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, siapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq dan hidayah-Nya serta bersegera memohon keampunan dan rahmat-Nya 🤲

DOA SUPAYA DITETAPKAN HIDAYAH

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”

( Surah Ali Imran 3: 8 )

Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan 🤲

Semoga bermanfaat buat semua.

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.

Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

#UAHSahabatDuniaAkhirat

kredit: Facebook Ustazah Asma’ Harun

Published by
Team Hijabista