Bukan calang-calang individu yang boleh menduduki kerusi editor di sebuah majalah. Apatah lagi majalah tersebut adalah majalah fesyen terkemuka dunia. Meluaskan empayarnya ke seluruh dunia, Vogue hadir dengan edisi baru Vogue Scandinavia yang akan merangkumi pasaran negara Denmark, Norway, Iceland dan Finland.
Dalam dunia penerbitan fesyen antarabangsa jarang sekali seorang wanita berhijab diangkat menjadi tulang belakang. Namun Rawdah Mohammed membuktikan bahawa wanita Muslim yang berhijab juga mampu menyumbang kepada dunia fesyen antarabangsa.
Ujarnya dalam satu hantaran di laman Instagram, “Anda melihat Editor Fesyen Norway bagi Vogue Scandinavia! Secara rasminya dia seorang Vogue! Saya berharap dapat menjadi kekuatan sebuah budaya yang hadir dengan banyak pembelajaran, berkembang dan menghadapi cabaran yang datang dengan jawatan ini. Semoga anda semua bersedia dan bangga sebagaimana bangganya saya untuk perkara ini.”
Dia yang juga seorang peragawati tular baru-baru ini dek kelantangan dalam mengkritik isu larangan berhijab bagi gadis Muslim bawah umur 18 tahun di Perancis. Dalam kempen ‘Hand off my hijab’ itu, dia menarik perhatian dunia dan disokong oleh figura terkenal berhijab lain seperti atlet lawan pedang USA, Ibtihaj Mohamed.
Dia yang berkebangsaan Somalia-Norway ini dikenali kerana idea fesyennya yang tidak rigid tanpa berkompromi tentang cara pemakaian hijabnya yang menutup leher secara keseluruhan.
Semoga dengan kehadiran wanita berusia 29 tahun ini dalam lapangan fesyen antarabangsa mampu membuktikan wanita muslim yang berpegang teguh kepada agamanya tidak kurang dari wanita-wanita lain.
Sumber & Gambar: Instagram Rawdah Mohamed