Menurut saranan American College of Sport Medicine, preskripsi senaman untuk golongan berusia 35 tahun ke atas boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu senaman untuk sistem daya tahan jantung, kekuatan/daya tahan otot dan keseimbangan.
Berdasarkan kajian, aktiviti fizikal dan senaman yang dilakukan sama ada di pusat kecergasan, gim mahupun di rumah oleh golongan yang berusia lebih dari 35 tahun ke atas mampu meningkatkan prestasi fizikal, fisiologikal, psikologikal dan kualiti kehidupan.
Menurut Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, dari aspek fizikal, senaman dapat membantu dalam mengoptimumkan tahap sistem kardiovaskular, meningkatkan kekuatan dan daya tahan otot. Malah, melalui senaman, golongan ini juga dapat memiliki komposisi badan yang baik dengan meningkatkan peratusan otot, komposisi tulang, dan mengurangkan peratusan lemak.
Tambah beliau lagi, dari aspek fisiologikal, ianya dapat meningkatkan kadar nadi latihan maksimum, kapasiti paru-paru dan penurunan tekanan darah.
“Senaman juga boleh menghasilkan peningkatan tahap psikologikal dan kognitif. Semua kelebihan dari melakukan senaman diusia emas ini dapat membantu seseorang itu meningkatkan kualiti kehidupan dan melambatkan proses penuaan,” ujarnya.
Bagi mereka yang sentiasa cergas melakukan aktiviti fizikal secara sistematik dan berterusan dapat mengurangkan risiko penyakit kronik yang boleh membebankan kewangan individu serta keluarga untuk menanggung kos perubatan yang tinggi.
JENIS SENAMAN
Menurut saranan American College of Sport Medicine, preskripsi senaman untuk warga emas boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu senaman untuk sistem daya tahan jantung, kekuatan/daya tahan otot dan keseimbangan.
“Untuk senaman sistem daya tahan jantung, senaman seperti berjalan perlahan, berjalan pantas, berjoging dan berbasikal boleh dilakukan dengan mengunakan peralatan seperti mesin treadmill
dan ergometer basikal. Bagi senaman untuk meningkatkan kekuatan/daya tahan otot, ianya boleh di lakukan dengan latihan bebanan menggunakan peralatan gim seperti mesin senaman untuk otot spesifik, atau menggunakan peralatan seperti dumbbell, barbell, kettlebell, resistance band dan tubing. Senaman keseimbangan pula boleh dilakukan dengan menggunakan peralatan seperti bola senaman, dan bola BOSU,” ujarnya lagi.