Memukau perhatian penonton dan juri dengan persembahan hebat di Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) semalam, Aina Abdul telah membuktikan dirinya merupakan seorang yang serba boleh apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya yang berjudul Semalam telah dinobatkan sebagai naib juara di acara yang berprestij itu.
Sering tampil dengan imej yang mencuri tumpuan ramai, Aina telah menjelaskan di laman instagramnya mengenai setiap perincian dalam busana yang dipakainya semalam. Bukan hanya sekadar fesyen, ternyata busana rekaan Wan and Mary itu membawa mesej yang tersendiri untuk dipersembahkan kepada umum.
INSPIRASI BUSANA “SEMALAM” AINA ABDUL DI AJL35:
Topi yang direka menjadi seperti sebuah tempat tidur seorang bayi atau kanak-kanak kecil adalah hasil interpretasi lirik “tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini”. Bait kata “jasad ini” itu adalah metafora kepada figura seorang bayi atau kanak kanak kecil yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah “SEMALAM”.
Jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat adalah menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali. Perincian pleated pada jacket tersebut dipilih hasil inspirasi daripada daun palas kipas atau “palm tree”. Ini adalah interpretasi seni reka fesyen terhadap lirik “diri ini bagai daun gugur”. Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua dan kering dan sudah layu. Ia juga simbolik kepada perkataan “SEMALAM” yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap.
Helain bahagian dalam busana ini yang dicedok dari rekaan pakaian tradisional
Vietnam Ao Ďai atau “long tunic” adalah lambangan kepada sifat seorang wanita yang feminin dan ayu. Ia diperbuat dari material lembut dan polos yang menggambarkan hati seorang wanita yang mudah rapuh dan cepat tersentuh. Perincian kain pleat yang membentuk satu imej bulat dibawah helaian jaket bermaksud seperti wanita ini sedang berdiri di atas daun yang terapung.
Tidak ketinggalan, perincian kain pleated berwarna merah di belakang jaket melambangkan kesan luka “SEMALAM”.
Parachute atau payung terjun dipilih sebagai elemen terbesar dalam reka bentuk busana Aina Abdul di Anugerah Juara Lagu 35 bagi melambangkan imej daun gugur yang ditiup angin. Imej grafik yang dipancarkan di atas kain adalah lambangan kepada bait “calar ungu” yang terdapat di dalam lirik “Engkau pergi jua, tinggal ku sendiri dengan seribu calar ungu”. Gerakan penari yang menolak-nolak kain parachute dari dalam melambangkan kesan lebam sebagai interpretasi maksud “calar ungu”. Wanita ini juga menyampaikan kisahnya bersama dengan penari-penari yang berada di dalam parachute. Ini lambangan kepada situasi dimana wanita ini mewakili insan-insan lain yang turut merasai penderitaan yang sama.
Memang tidak dapat dinafikan lagi Aina adalah di antara penyanyi yang sungguh kreatif dalam menghasilkan karyanya kepada peminat. Kemenangannya semalam merupakan satu permulaan baik bagi tahun 2021 ini. Moga Aina terus tampil dengan material yang hebat lagi selepas ini. Tak sabar kami nantikannya!