Peralatan perubatan seperti Peralatan Pelindungan Diri (PPE) amatlah diperlukan oleh petugas-petugas hospital disebabkan penularan wabak covid-19 yang semakin menjadi-jadi pada waktu ini.
Tampil menghulurkan bantuan, Shafeeqa Johari iaitu isteri kepada pelawak terkenal Atu Zero bersedia membantu mereka untuk menjahit pelindung kepala dan kasut secara sukarela menggunakan kemahiran yang dia ada.
Alhamdulillah, akhirnya dia berjaya menghubungi pihak Hospital Shah Alam bagi menolong mereka menjahit kelengkapan PPE. Menurutnya, walaupun dia tidak mampu memberikan puluhan ribu ringgit, namun sekurang-kurangnya dia dapat menyumbangkan tenaganya bagi meringankan beban para petugas.
Sememangnya inilah sikap terpuji yang patut kita contohi. Moga para petugas barisan hadapan dipermudahkan urusan mereka dan sama-samalah kita rakyat Malaysia berdoa dan bekerjasama membendung wabak ini dengan mengikuti langkah-langkah yang telah disarankan oleh pihak kerajaan. InsyaAllah.