Pembelian melalui online memang memudahkan, tanpa beratur panjang, tanpa memikirkan memakir kereta dan tak perlu meredah kesesakan lalu lintas. Namun sekiranya tidak berhati-hati mahunya terjadi kes “Tipah tertipu lagi”.
Sebaik-baiknya pilih laman online seller yang tidak diragui dan dikenali umum seperti shoppee, lazada, zalora, fashionvalet dan sebagainya.
Jangan terus bersetuju dengan maklumat yang telah dipaparkan dan yang dipromosikan. Sekiranya anda ada kemusykilan ada lebih baik bertanya berkali-kali secara terperinci.
Kebanyakkan ‘online seller’ menggunakan gambar yang sama yang digunakan oleh ejen atau pengedar besar barangan. Apa yang anda perlu lakukan menyemak sekiranya ada peniaga lain menggunakan gambar yang sama, minta gambaran sebenar barang yang dijual. Fahami ukuran yang diberi, sebaiknya minta ukuran sebenar.
Dapatkan maklumat tentang tempoh jaminan, syarat jaminan, dan cara untuk menuntut jaminan. Penjual yang jujur akan sentiasa memberikan jaminan yang berpatutan kerana mereka mempunyai keyakinan terhadap produk yang dijual. Bandingkan juga jaminan ini dengan beberapa penjual lain, atau ‘authorized’ dealer. Jika jaminan melebihi jaminan pengilang sendiri, mungkin itu hanyalah gimik pemasaran dan satu hebahan promosi.
Bagi melariskan jualan, ramai peniaga online kini memaparkan bersama testimoni atau perakuan daripada pembeli terdahulu. Baca dan kaji keikhlasan testimoni yang ditulis. Terdapat peniaga tidak jujur yang mendapatkan testimoni bagus dengan cara membayar. Kita juga boleh merujuk kepada media sosial tentang apa-apa rungutan dari pembeli yang bernah berurusan dengan penjual tersebut. Semak juga akaun testimoni ada juga mereka membuat akaun palsu.
Sentiasa bandingkan harga diantara penjual-penjual di atas talian. Mungkin ada harganya yang mahal sedikit tapi menawarkan hadiah percuma atau penghantaran percuma. Mungkin ada yang harganya lebih murah, tapi pembeli perlu menanggung kos penghantaran. Teknik ini digunakan terlampau meluas di e-bay. Ada penjual yang meletakkan harga terlampau rendah, tetapi harga sebenar telah dialihkan kedalam kos penghantaran. Berhati-hati sekiranya harga terlampau murah.
Sebagai bakal pembeli kita boleh cuba menghubungi penjual melaui kaedah yang diiklankan. Cuba bertanya sesuatu tentang pekara produk yang hendak dijual. Kita juga boleh bertanya tentang kaedah penghantaran yang disediakan. Lihat bagaimana respon yang diberikan dari segi kecepatan dan ketepatan komunikasi balas penjual tersebut. Hindari penjual yang tidak mahu berkomunikasi, atau terlampau memaksa membeli, kerana mereka mungkin ada agenda tersembunyi.
Cara pembayaran paling selamat ialah melalui platform yang menyediakan “buyer protection programme“. Dengan kaedah ini, pihak ketiga menyimpan dahulu pembayaran sehingga pembeli mengesahkan penerimaan barangan. Kaedah lain yang lebih selamat ialah COD atau cash on delivery. Pembayaran dibuat semasa barangan diterima. Jika kaedah yang ada hanyalah bank-in, kita perlu terlebih dahulu memeriksa nama pemegang akaun dan sebarang aduan tentang akaun penjual tersebut.