Seperti mana pakaian, hijab atau tudung juga memerlukan penjagaan rapi. Jika sambil lewa sahaja, anda mungkin tidak berpeluang memakai tudung kesayangan anda itu lagi. Tudung juga datang dari pelbagai jenis fabrik. Jadi, cara penjagaannnya juga adalah berbeza. jangan nanti tak kena cara mencucinya menyebabkan tudung baru nampak kusam, pudar dan tidak menarik.
Tudung Dari Fabrik Sutera
Amalkan basuhan tangan dan elakkan penggunaan berus kerana ia akan merosakkan urat benang sutera yang sangat lembut. Cukup dengan hanya rendaman dalam air bersih
bercampur pelembut kain. Kalau anda nak tahu, pelembut pakaian dapat menjadikan sutera anda semakin lembut, bersinar dan menambah seri warna serta corak tudung. Sekiranya tudung sutera anda terkena kotoran, segeralah mencucinya. Elakkan daripada menggunakan peluntur kerana ia berpotensi untuk mereputkan sutera kesayangan anda.Tudung Dari Fabrik Tenunan
Jika tudung anda terdiri daripada bahan fabrik tenunan, seeloknya elakkan daripada menjemurnya di bawah cahata matahari. Gunakan alternatif lain dengan menjemurnya di bawah kipas. Hal ini bertujuan untuk menjaga kualiti dan keaslian kain tenun. Segeralah mencuci tudung anda jika terkena kotoran kerana kotoran lebih mudah meresap pada kain tenunan. Cara mencucinya juga agak mudah. Anda hanya perlu merendam tudung anda dengan air bersih bersama bahan pencuci selama 20 minit kemudian bilas dengan air bersih dan perah.
Tudung Dari Fabrik Kapas
Tudung dari fabrik ini antara yang popular digunakan dan dijual di pasaran. Hal ini kerana jenis fabrik kapas yang lebih selesa dikenakan sesuai dengan iklim cuaca panas di Malaysia. Sewaktu mencuci tudung ini, elak menggunakan bleach atau bahan kimia lain selain dari pencuci biasa. Anda boleh membasuh tudung anda dengan tangan atau washing machine dengan air sejuk atau suam. Seeloknya tudung yang berlainan warna diasingkan bagi mengekalkan warnanya. Fabrik ini akan mengalami sedikit kecutan, jadi untuk mengatasinya semasa iron tudung tersebut, semburkan dengan air atau untuk lebih mudah gunakan sahaja steam iron.
Tudung Dari Fabrik Pashmina
Bagi pemakai tudung ini, penjagaannya agak mudah. Jika hendak mencuci tudung ini, rendamkan sahaja dengan air bersih bercampur sedikit pencuci selama 20 minit. Kemudian bilas dengan air bersih dan sedikit pelembut fabrik dan keringkannya di kawasan teduh. Elakkan dari menjemur terus ke pancaran terik matahari kerana ia berisiko untuk merosakkan fabrik tudung anda.