Elakkan 8 Masalah Di Pejabat Untuk Tingkatkan Kualiti Kerja & Hidupkan Suasana Positif!

Share

Pelbagai faktor yang menyebabkan kita rasa bersemangat dan bermotivasi ketika di pejabat. Ia akan mempengaruhi cara kerja kita untuk memberikan yang sebaiknya. Namun, kadang-kala ada juga faktor yang menyebabkan kita rasa kurang semangat disebabkan penyakit-penyakit sosial di tempat kerja. 

Sumber gambar: PNW

Hal ini akan menjadi virus yang tidak elok kepada diri kita dan akhirnya kualiti kerja akan terjejas. Jom ketahui faktor-faktor yang perlu dielakkan apabila di tempat kerja! 

Sumber gambar: Pavel

Disiplin

Tidak kira anda pelajar sekolah ataupun sudah bekerja, disiplin merupakan faktor penting untuk memberikan kualiti kerja yang sebaiknya. Perihal seperti hari pertama anda memulakan tugasan, jam berapa tiba di pejabat?, apa yang dipakai? Dan bagaimana pergaulan bermula. Penuh dengan disiplin dan aturan bukan? Jadi mengapa harus semakin lama bekerja semakin teruk disiplin tidak dijaga? Ingat walau seselesa manapun kedudukan anda, selagi namanya makan gaji selagi itulah anda perlu mengawal tingkah laku dan disiplin agar tidak menjadi masalah akhirnya.

Malas

Ini virus paling mudah mendekati semua orang yang akhirnya menjadi penyakit berbahaya. Antara simptom utamanya adalah datang lewat pulang awal, curi-curi tidur, mula mengelak menjadi ketua bagi setiap tugasan berkumpulan dan lain-lain. Bila simptom-simptom ini mula wujud maka fahamlah bahawa penyakit malas ini sudah mula menguasai diri. Kunci untuk mengelak daripada penyakit ini menular adalah ambil setiap tugasan yang diberi sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Dengan ini pasti virus malas yang cuba mencucuk diri mampu di atasi.

Pecah amanah

Jangan menyalahgunakan tanggungjawab yang diberi. Hal ini bukan saja boleh menjejaskan nama baik malah membawa anda kepada hal yang lebih berat seperti disaman atau dipenjarakan. Banyak terjadi kepada mereka yang mengawal akaun syarikat atau hubungan bersama klien. Ingat, jangan kerana wang mata anda gelap dibayangi hal-hal yang akhirnya membuatkan anda dirundung masalah seumur hidup!

Buli

Penyakit berlagak! Bukan lagi jadi hal biasa bila ada senior di dalam syarikat cuba menunjuk kuasa pada staf baru memulakan kerja. Jangan begitu, alangkah baik jika anda sebagai senior memberi tunjuk ajar agar memudahkan operasi kerja seharian di pejabat. Tidak salah mengarah tapi biar kena dengan caranya agar arahan yang diberi boleh diterima baik pekerja baru yang berada di bawah anda.

Sumber gambar: Ron

Laman Sosial

Menghabiskan masa di pejabat dengan melawati laman sosial seperti Instagram, Facebook, Tiktok, Twitter atau blog terbukti memberi kesan kepada produktiviti kerja. Masa yang sepatutnya digunakan untuk membuat kerja dengan penuh teliti akhirnya diganggu dengan aktiviti sosial yang tidak berkaitan kerja. Apa yang anda boleh lakukan adalah lawat laman sosial yang kerap anda lawati ketika masa rehat atau selepas waktu kerja. Jangan campur aduk kualiti masa kerja anda dengan aktiviti di laman sosial.

Gosip

Ini perihal biasa. Baik perempuan mahupun lelaki sama naik, jadi kaki gosip! Pantang ada hal sensasi mulalah jadi bualan mulut ke mulut. Elak daripada menjadi penyampai berita tidak rasmi pejabat. Jika anda mendengar apa-apa khabar angin jadilah pendengar sahaja, usah menambah atau menjadi penyampai kepada orang lain. Bertambah parah jika ada yang menjadi batu api dan melagakan satu pihak dengan pihak yang lain. Jangan begitu, takut satu hari nanti memakan diri sendiri pula.

Sumber gambar: Thirdman

Gangguan Seksual

Menurut kajian kesan daripada stres keterlaluan di tempat kerja boleh menjadikan seorang lelaki menggunakan orientasi seks sebagai objek pelepas tekanan. Hal ini pasti saja akan menakutkan ramai wanita di luar sana. Sebagai lelaki anda perlu bijak mengawal emosi dan nafsu yang ada. Tidak salah bergurau atau berbincang isu berhubung seksual dengan wanita tapi harus ada batasnya, takut ada yang tidak selesa dengan cara anda nanti.

PMS

Angin satu badan sampai hal yang kecil diperbesarkan. Hal ini terjadi pada yang tidak bijak mengawal kemarahan. Semua orang punya tekanan sendiri dalam melaksanakan tugas tapi jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar! Jika anda seorang bos, kawal dengan bijak kemarahan pada anak buah agar tidak ada yang dingin dengan sikap anda. Jika anda seorang pekerja biasa anggap positif, jangan sampai kemarahan disimpan menjadi dendam.

Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.

Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe 

Published by
Putra