Telur merupakan bahan makanan yang boleh dikatakan sentiasa ada di rumah. Harganya yang rendah dan mudah didapati menjadikannya pilihan untuk dimakan. Selain itu, telur juga penuh dengan khasiat yang baik untuk tubuh.
Telur mengandungi beberapa vitamin dan mineral yang memainkan peranan dalam diet yang sihat. Walaupun telur mengandungi kolesterol, memakannya secara sederhana adalah sangat sihat kerana protein yang terdapat di dalamnya.
Menurut United States Department of Agriculture (USDA), sebiji telur rebus mengandungi beberapa nutrien, termasuk protein, lemak, natrium, kalsium, besi, magnesium, fosforus, kalium, zink, kolesterol, selenium, lutein dan zeaxanthin, dan folat .
Kita di nusantara mengambil telur sebagai sumber protein yang murah (berbanding ikan dan daging merah) semenjak dahulu lagi.Telur rebus dimasak bersama sambal dan kari. Nasi goreng dicampurkan dengan telur.
Timbul pula persoalan kebelakangan ini yang mengaitkan tahap kolesterol yang tinggi dan pengambilan telur.Peliknya ramai yang mempunyai tahap kolesterol jahat yang tinggi ini tidak pun mengambil telur dalam pemakanan mereka.
Telur yang bersaiz sederhana mengandungi 185 miligram kolesterol, yang mewakili sebanyak 60% daripada pengambilan harian yang disyorkan.
Dalam satu kajian yang dijalankan, dua kumpulan peserta dibahagikan. Satu kumpulan mengambil antara 1 hingga 3 biji telur setiap hari manakala kumpulan kedua mengambil makanan lain bagi menggantikan telur.
1. Dalam kebanyakan kes, kolesterol baik (HDL) meningkat naik.
2. Kolesterol keseluruhan dan kolesterol jahat (LDL) tidak banyak berubah.
3. Makan telur yang diperkaya dengan omega-3 boleh menurunkan trigliserida darah.
4. Tahap karotenoid antioksidan dalam darah seperti lutein dan zeaxanthin meningkat secara signifikan.
Berdasarkan kajian tersebut, kesan makan telur sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Ini difahami bahawa walaupun telur mempunyai tahap kolesterol yang tinggi hanya kurang dari 20 peratus yang akan meresap masuk ke dalam badan.
Bagi orang yang aktif secara fizikal, tahap kolesterol tidak memberikan kesan terhadap peningkatan kolesterol jahat.
Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 menyatakan, memakan sebiji telur setiap hari tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung. Dalam kajian lain (2003) yang telah menjejaki seramai 115,000 individu dewasa selama 14 tahun dan mendapati bahawa memakan sebiji telur setiap hari tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung koronari dan strok.
Apa yang penting, melakukan aktiviti fizikal jika mengamalkan pengambilan telur. Orang dulu mengambil telah untuk memberikan tenaga sebelum membersihkan kebun, bersawah atau menguruskan ladang.
Jadi ambil telur mengikut keperluan tubuh. Memakan sebiji atau dua telur dalam sehari merupakan salah satu daripada pelan pemakanan yang sihat kerana ia tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap peningkatan risiko penyakit jantung bagi mereka yang dikategorikan sebagai individu sihat.
Telur bukanlah mengandungi lemak sihat tetapi juga protein sihat (berbanding dengan daging merah). Oleh itu, telur tidak memudaratkan asalkan kita aktif secara fizikal.
Sumber kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad Top image: Photo by ivan-samkov from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.