Tiada Masa Baca Tapi Hanya Dengar Sahaja Bacaan Al-Quran, Bolehkah Dapat Pahala Sama Macam Orang Yang Membaca?

Share

Kita sedia maklum fadhilat membaca Surah al-Mulk pada setiap malam dan Surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Persoalannya, bolehkah sesiapa yang hanya mendengar bacaan surah-surah ini mendapat fadhilat daripada surah-surah ini.

Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang kelebihan orang yang membaca Surah al-Mulk pada setiap malam dan Surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat.

Antara hadis-hadis berkenaan adalah seperti berikut:

Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur

. (Hadis riwayat al-Tirmidzi : 2890)

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya: Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada malam Jum’at, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq. (Sunan Ad-Darimi: 3273)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal. (Hadith riwayat Muslim: 1342)

Sesungguhnya al-Quran memberi manfaat kepada orang yang membaca dan mendengarnya. Justeru itu, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mendengar al-Quran dengan baik apabila ia dibacakan.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-A’raf: 204)

Rasulullah SAW sendiri meminta para Sahabat RA supaya memperdengarkan al-Quran al-Karim kepada Baginda SAW. Dalam satu hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW meminta Abdullah Ibn Mas’ud RA membacakan al-Quran:

“‏ “اقْرَأْ عَلَىَّ ‏”‏‏.‏ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ ‏”‏‏.‏ فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ ‏{‏فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا‏}‏ قَالَ ‏”‏ حَسْبُكَ الآنَ ‏”‏‏.‏ فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ‏.‏

Maksudnya: (Rasulullah SAW bersabda): “Bacakanlah kepadaku al-Quran”. Aku (Abdullah Ibn Mas’ud RA) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, aku membacakan al-Quran kepada kamu padahal al-Quran diturunkan kepada kamu?” Jawab Nabi SAW, “Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya dari bacaan orang lain.” Kemudian aku membaca Surah al-Nisa sehingga ayat 41 dan Baginda SAW bersabda: “Cukuplah untuk sekarang.” Lalu aku berpaling kepada Baginda SAW dan aku mendapati kedua-dua mata Baginda SAW bercucuran air mata . (Hadis riwayat al-Bukhari: 4583)

Orang yang mendengar al-Quran juga mendapat pahala jika disertai dengan adab-adabnya dan menghayati bacaan al-Quran tersebut. Walaubagaimanapun, pahala orang yang mendengar al-Quran tidak sama dengan orang yang membacanya. Ini kerana orang yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang lebih besar dan fadhilat daripada bacaannya tersebut. Daripada Abdullah Ibn Mas`ud RA katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka untuknya satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu. Aku tidak mengatakan bahwa ‘alif lam mim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ adalah satu huruf, ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ juga satu huruf. (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Justeru, mencemburui dan iri hati terhadap orang yang dapat membaca al-Quran adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهْوَ يَتْلُوهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهْوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ

Maksudnya: Tidak dibenarkan iri hati melainkan terhadap dua macam orang, iaitu: Orang yang diberi kepandaian oleh Allah SWT dalam hal al-Quran, lalu ia membacanya pada waktu malam dan waktu siang. Juga seorang yang dikurniakan Allah SWT akan harta lalu ia menginfaqkannya pada waktu malam dan siang. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

KESIMPULANNYA:
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa fadhilat membaca sesuatu ayat atau surah dalam al-Quran tidak didapati dengan hanya mendengarnya sahaja.

Oleh itu, adalah lebih baik orang yang mendengar turut mengikuti bacaan dengan menyebut ayat-ayat yang didengarnya walaupun tidak menghafal dan tidak melihat kepada mushaf al-Quran. Dalam situasi ini, maka orang yang mendengarnya pun turut mendapat pahala yang sama dan fadhilatnya. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya.

Sumber kredit: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Norhasliza