Untuk mengurangkan impak COVID-19 terhadap ekonomi rakyat, kerajaan Malaysia telah mengumumkan diskaun akan diberikan ke atas bil utiliti elektrik anda bermula April 2020 hingga September 2020.
Pengguna boleh melaksana beberapa inisiatif bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menerima manfaat diskaun maksimum yang diberikan kerajaan. Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna boleh melaksana beberapa panduan bagi mengimbangi keperluan menggunakan peralatan elektrik dengan selesa tanpa pembaziran.
Berita baiknya, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan sebelum ini pengguna kediaman juga diberikan diskaun untuk bil elekrik.
Malah boleh dapat diskaun sehingga 50 peratus! Ya, tapi ada syaratnya! Kita kena usaha untuk turunkan penggunaan tenaga elektrik di rumah. Lagi sikit penggunaan, lagi banyak diskaun dapat.
TNB menjangkakan, dalam tempoh PKP ini, penggunaan elektrik di kediaman bakal meningkat kerana isi rumah menggunakan elektrik yang lebih kerap atau lebih lama dari kebiasaan.
“Peningkatan sebenar penggunaan elektrik ini hanya akan diketahui selepas berakhirnya pelaksanaan PKP kerana TNB menangguh sementara pembacaan meter dan menggantikannya dengan bil anggaran bagi mematuhi arahan PKP.
“Diskaun berperingkat untuk pengguna domestik selama enam bulan bermula hari ini, seperti diumumkan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan bagi mengurangkan beban kepada rakyat akibat langkah PKP bagi menangani COVID-19,” katanya.
Kerajaan sebelum ini umumkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus kepada pelanggan domestik/kediaman dengan penggunaan elektrik hingga 200 kWj sebulan.
Diskaun 25 peratus pula bagi penggunaan elektrik antara 201 hingga 300 kWj dan 15 peratus bagi penggunaan elektrik antara 301 hingga 600 kWj. Penggunaan elektrik melebihi 600 kWj pula mendapat diskaun dua peratus.
Berikut adalah kadar diskaun yang akan diperoleh pengguna domestik/kediaman berdasarkan TNB
Pengguna domestik tidak perlu membuat apa-apa permohonan untuk mendapatkan diskaun ini. Ia diberikan secara automatik kepada semua pengguna yang berdaftar dengan TNB atau mana-mana pembekal elektrik berdasarkan jumlah penggunaan elektrik untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September.
Menurut TNB, perkhidmatan bil bercetak bermula dari 20 Mac 2020 akan dihentikan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak. Sepanjang tempoh PKP ini, anda boleh menyemak bil menerusi laman web myTNB atau memuat turun aplikasi myTNB untuk Android atau iOS.
Untuk panduan menggunakan aplikasi myTNB, boleh lihat artikel ini – Pantau Dan Bayar Bil Elektrik Lebih Mudah Dengan Aplikasi myTNB.
Selain itu, bil baru akan dianggarkan berdasarkan penggunaan bil bulan sebelumnya. Contohnya, jika bil bulan sebelum adalah RM100, bil terbaharu anda akan dianggarkan pada jumlah yang sama, RM100. Amaun bil tersebut akan diselaraskan semula setelah kakitangan TNB membuat bacaan sebenar di kediaman anda selepas PKP tamat.
Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai perkhidmatan TNB boleh hubungi mereka pada talian 1-300-88-5454 atau hantarkan email ke tnbcareline@tnb.com.my.
SUMBER: https://www.tnb.com.my/prihatin/