Suatu ketika dulu nama pennyanyi ini cukup popular di kalangan peminat terutama bergenre rock. Siapa tak mengkagumi suara lantang yang cukup memukau ditambah dengan penampilan sedikit seksi menjadikan Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, mempunyai peminat tersendiri. Tapi itu imej 31 tahun dulu dan kini penampilan Shima cukup berbeza. Tanpa pakaian seksi sebaliknya menyarung busana longgar dengan tudung labuh serta tanpa sebarang solekan mantap menjadikan penampilan Shima hampir tidak dikenali.
Dia yang sudah bertudung hampir setahun lalu menganggap penghijrahannya adalah satu hidayah dari Allah yang sangat bermakna buat dirinya.
Shima yang mula berhijrah sepenuhnya sebaik mendapat peluang ke mengerjakan umrah setahun lalu. Menurutnya sebelum itu dia memang sudah lama berniat untuk bertudung dan kalau dapat jejakkan kaki ke Tanah Suci akan terus berhijab.
“Keinginan nak bertudung dah lama saya simpan. Dan apabila dapat panggilan dari seorang kawan mengatakan saya terpilih untuk mengerjakan umrah, saya hampir tak percaya.
“Jadi sejak dapat panggilan itu dan hari pertama pergi airpot saya dah berhijab. Terus tak bukak tudung sampailah sekarang. Dah setahun jugalah penghijrahan ini,” ungkap Shima.
Malah sebaik memgambil keputusan berhijab, Shima juga terus menjual baju seksi miliknya dan menukar penampilannya dengan jubah serta tudung labuh.
Dia yang sudah 31 tahun dalam bidang seni ini juga berkata sejak menyertai Gegar Vaganza musim pertama, tidak banyak menerima sebarang pertunjukan.
“Lepas GV memang sunyi sepi. Saya pun pelik kenapa jadi begitu. Padahal rakan-rakan lain sibuk terima undangan buat petunjukan.
“Saya tak tahu sebabnya tapi untuk menampung hidup sekarang, saya ambik keputusan berniaga nasi campur dengan suami.
“Sejak dulu memang saya suka memasak. Ramai kawan-kawan tanya bila nak buka kedai tapi masa itu tidak terfikiir dan hanya cakap ‘nantilah’.
“Dan setelah berbincang dengan suami, kami setuju untuk berniaga kecik-kecilan dan saya cuba realisasikan kebolehan saya memasak dulu dengan membuka gerai nasi campur.
“Alhamdulillah sambutan diterima amat menggalakkan. Saya berniaga nasi campur ni setiap hari kecuali Ahad tutup. Saya seronok dengan aktiviti yang dilakukan sekarang ini walaupun tetap ada rasa rindu untuk menyanyi,” tambahnya yang mula menyanyi sejak berusia 12 tahun.
Ketika diawal pembabitannya, Shima banyak menyanyi di kelab malam dan juga pub sebelum ditawarkan jadi artis syarikat rakaman bersama band The Boys.
Sepanjang tempoh 31 tahun itu pelbagai dugaan dihadapi dalam bidang hiburan ini. Jadi kalau mahu layan apa orang nak cakap memang boleh menyebabkan jiwa tak tenteram dan boleh jadi gila.
“Sebaiknya baik saya fikir kehidupan kita di masa depan, macam mana nak terus kehidupan. Ramai yang tanya bila nak buat ‘comeback’. Saya jawab nak ‘comeback’ apa sebab saya memang ada di sini.
“Cuma jarang menyanyi. Mana tahu rezeki satu hari nanti ada yang tawarkan nak buat single, insyaallah,” ceritanya lagi yang turut memberitahu ada mempunyai masalah kesihatan iaitu slip disc dan memerlukan dia untuk terus menerima rawatan dan makan ubat-ubatan.
Malah melalui rezeki berniaga nasi campur di Warong Teringin by Shima ini jugalah sebagai penyambung rezeki bagi menampung kehidupan dia dan suami serta perbelanjaan untuk ubat-ubatannya setiap bulan.
SUMBER: FACEBOOK SINAR FM
KREDIT FOTO: INSTAGRAM SHIMA