Ketiadaan akses kepada air bersih dan kit kebersihan haid seperti tuala wanita dan tampon, memaksa wanita Gaza mengambil pil penangguhan haid yang mungkin memberi kesan sampingan negatif kepada mereka.
Memetik laporan Al Jazeera, tuala wanita diperlukan ramai dan sukar didapati, justeru pil penangguhan haid lebih banyak tersedia di sesetengah farmasi kerana ia tidak biasa digunakan.
Menurut Ruba Seif, 35, yang tinggal di kem perlindungan bersama keluarga, walaupun tahu akan kesan sampingannya tetapi tiada apa yang lebih bahaya daripada peluru berpandu, kemusnahan dan kematian di sekellingnya.
“Tiada privasi, bilik mandi tidak mempunyai air, dan kami tidak boleh keluar dengan mudah untuk mencari apa yang kami perlukan.
“Saya tidak dapat menahan kesakitan senggugut dan ketakutan yang berterusan yang kami alami, kurang tidur, dan kesejukan kerana tidak ada selimut yang mencukupi,” ujar Ruba yang meminta abangnya mencari pil penangguhan haid di beberapa farmasi.
Sementara itu, Samira al-Saadi yang berpindah bersama keluarganya di sebuah sekolah di barat Khan Younis berharap dia dapat membantu anak perempuannya berusia 15 tahun yang mendapat haid pertamanya beberapa bulan lalu.
Katanya, dia bimbang untuk memberi pil penangguhan haid untuk anak perempuannya kerana khuatir ia akan menjejaskan kesihatan anaknya.
“Dia (anak perempuan) tidak faham mengapa dia perlu melalui semua ini dan menguruskan haidnya di tempat perlindungan yang sesak.
“Dia memerlukan tuala wanita dan air untuk mencuci, tetapi keperluan asas ini tidak tersedia. Saya cuba membantunya, tetapi apa yang dia perlukan tidak ada,” kata wanita berusia 55 tahun itu.
Menurut Dr Walid Abu Hatab, Perunding Perubatan Obstetrik dan Ginekologi di Kompleks Perubatan Nasser di bandar selatan Khan Younis, pil itu mempunyai kesan sampingan seperti pendarahan yang tidak teratur, loya, perubahan pada kitaran haid, pening dan perubahan mood.
Farmasi dan kedai menghadapi kekurangan bekalan akibat kemasukan bantuan yang dihadkan oleh Israel di sempadan Rafah.
Selain itu, pengeboman Israel ke atas jalan-jalan utama di Semenanjung Gaza telah menyebabkan pengangkutan produk dari perubatan gudang ke farmasi adalah satu tugas yang sukar.
Sumber: AlHijrah Online
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI