Biarpun Syawal sudah memasuki hari ke 9, namun kemeriahannya masih lagi dapat dirasai dengan undangan rumah terbuka yang memenuhi jadual harian. Berbicara mengenai sambutan Syawal tahun ini, penyanyi yang popular dengan lagu Canggung, Wany Hasrita berkongsi tentang persiapan raya dalam The Hijabista Show.
Menurut Wany, sudah pasti tahun ini berbeza dengan tahun-tahun yang lepas kerana dapat pulang ke kampung beraya bersama kaum keluarga. Jika dahulu, sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hanya menyambut bersama ibunya sahaja, namun kali ini kemeriahan Aidilfitiri dapat dirasai dengan lebih meriah.
“Raya tahun ini, insyaAllah saya dapat pulang ke kampung. Seperti sebelum ini sewaktu musim PKP, saya hanya beraya berdua bersama ibu saya. Memandangkan saya memang tinggal bersama ibu, jadi raya kami sebelum ini lebih sederhadan dan biasa sahaja,” ujarnya.
Mengenai baju raya pula, Wany lebih selesa untuk bersederhana dan tidak terlalu keterlaluan dalam pemilihan busana raya.
“Untuk baju raya pula, saya hanya pakai apa yang ada sahaja. Saya juga tidak pula menempah apa-apa untuk busana raya. Apa yang saya dapat, saya pakai di hari raya.” kongsinya ringkas.
Raya Mega atau Raya Bajet?
Oleh disebabkan musim PKP berakhir, pasti ramai yang mahukan raya kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelum ini. Bertanyakan soal Raya Mega atau Raya Bajet, Wany menyatakan bahawa ia terpulang kepada individu tersebut untuk meraikan Syawal kali ini.
“Masing-masing mempunyai pilihan mereka sendiri. Jadi terpulanglah kepada mereka untuk meraikan raya kali ini. Sama ada mega ata bajet, sama sahaja, yang penting sama-sama meraikan hari raya.
Baju yang berbunga ataupun berbunga, ia semuanya pilihan masing-masing. Apa yang penting, biarlah bersesuaian dengan sambutan hari raya,” tambahnya lagi.
Sekadar info, Wany juga turut menjadi salah seorang pengacara untuk rancangan Borak Dulu Baru Buka yang disiarkan di TV1. Program yang disiarkan sepanjang bulan Ramadan yang lalu turut dikendalikan oleh Amin Idris dan Khir Khalid.
Sumber gambar: Instagram Wany Hasrita