Meskipun tidak dapat melepasi stage 3 dalam ujibakat Ratu Hijabista hari ini namun itu bukanlah pengakhiran buat Nur Mareina Osman. Gadis berusia 23 tahun ini mengakui penyertaannya dalam ujibakat Ratu Hijabista merupakan satu pengalaman baru dalam hidupnya.
Berasal dari Sungai Petani, Kedah gadis ini mengakui dia sangat terharu kerana telah terpilih untuk menghadiri stage ke tiga sesi ujibakat Ratu Hijabista. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama gadis ini yang juga merupakan usahawan butik pakaian mengakui bahawa dia sedikit gementar kerana dia agak gugup berhadapan dengan individu yang tidak dikenali.
“Juri pada hari ini sangat baik namun saya sendiri yang gementar. Saya juga terpaksa tukar ‘makeup look’ agar saya dapat jadi seperti diri saya sendiri. Saya memang tukar 100 peratus mekap saya dan masuk semula untuk menjalani sesi ujibakat yang kedua.
“Namun mungkin bukan rezeki saya. Dalam sesi ujibakat kali kedua untuk stage ke tiga saya tidak berjaya untuk melayakkan diri untuk sesi ujibakat stage ke empat,” ujar gadis yang sentiasa kelihatan berkeyakinan dari mula sesi ujibakat sehinggalah ke akhir ujibakat.
PERASAAN BILA JURI SURUH TUKAR MEKAP
Ditanya apakah perasaannya ketika diminta untuk mengubah ‘makeup look’ ketika dalam sesi ujibakat kali pertama, ini jawapan Mariena.
“Sejujurnya saya rasa macam bersalah sebab saya tidak tahu pun yang saya perlu mekap natural. Lagi pun saya jenis orang yang suka mekap tebal. Namun antara pengalaman yang saya kutip dari sesi ujibakat ini ialah selepas ini saya perlu bercakap dengan lebih ramai orang.
“Saya juga perlu belajar untuk tidak gementar dan tidak malu berhadapan dengan orang. Apa yang boleh saya lakukan selepas ini ialah saya perlu lebih banyak bercakap dengan orang yang saya tidak kenal supaya saya boleh buang rasa gementar itu,” Nur Mariena yang berbakat dalam mereka fesyen pakaian yang dijual dibutiknya.
BERKELULUSAN JURUSAN REKAAN FESYEN
Nur Mariena mengakui bahawa dia menyertai pencarian Ratu Hijabista kerana ingin menjadi inspirasi kepada golongan gadis-gadis dan wanita-wanita yang bersaiz XL supaya lebih berkeyakinan.
“Sebagai seorang yang berkelulusan dalam jurusan rekaan pakaian, saya memang sangat berminat dalam dunia rekaan fesyen. Selepas menamatkan pengajian, saya memulakan perniagaan dengan mengeluarkan jenama pakaian sendiri untuk semua jenis saiz badan.
“Bagi saya apabila saya mengeluarkan pakaian dengan pelbagai jenis saiz, saya dapat memberi peluang kepada semua golongan wanita tanpa mengira saiz untuk berfesyen dengan penuh keyakinan tanpa sebarang halangan.
“Dari segi idea rekaan pula kebanyakannya hasil daripada pemerhatian saya ketika ‘travel.’ Selain itu saya mendapat inspirasi daripada internet. Saya juga ada panel kilang sendiri untuk merealisasikan fesyen rekaan yang telah saya ilhamkan,” ujar Nur Mariena yang merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik.
TAK PERNAH RASA RENDAH DIRI
Dilontar tentang persoalan tidakkah dia berasa rendah diri apabila menyertai sesi ujibakat ini memandangkan kebanyakan yang datang semuanya bersaiz ‘S’ pantas Nur Mariena menjawab bahawa langsung tidak terdetik pun perasaan itu dalam dirinya.
“Jujur memang saya tidak pernah terfikir begitu dan tidak kisah, sebaliknya saya yakin dengan diri saya cuma seperti yang saya katakan, saya agak gementar apabila berhadapan dengan juri, In Shaa Allah jika ada lagi pencarian seperti ini khusus untuk wanita berhijab, saya tidak teragak-agak untuk menyertainya.
“Ini bukan kali pertama saya menyertai pertandingan namun pertandingan sebelum-sebelum ini lebih kepada fesyen yang sudah tentunya menjadi minat saya. Ratu Hijabista ini amat berbeza kerana ia lebih menonjolkan tentang diri saya,” jelas Nur Mariena yang merupakan bekas pelajar Kolej Vokasional Sungai Petani 2.
Sebelum menutup perbualan, Nur Mareina sempat berkongsi pesanan ditujukan khas buat wanita-wanita sepertinya agar berkeyakinan dan tidak rasa rendah diri.
“Just confident and be yourself. Pakai apa yang buat kita rasa selesa. Kalau kita rasa fesyen ‘pelik-pelik’ kita pakai. Kalau kita suka fesyen simple, kita pakai asalkan ia membuatkan kita selesa dan happy. Buat sahaja apa yang kita suka. Yang penting jangan terlalu ambil peduli dengan apa yang orang cakap sebab jika kita selalu dengar apa yang orang lain cakap, kita akan makin mundur.