Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesudian menerima kehadiran Seri Paduka berdua dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menerusi hantaran dalam Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan dan rasa terharu atas sokongan serta kasih rakyat kepada baginda berdua.
“Sesungguhnya, ia menjadi sumber kekuatan dan dorongan kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Utama Negara sejak 31 Januari 2019.
“Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa syukur kerana amanah dan tanggungjawab yang digalas, dilaksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati baginda.”
Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda berdua menamatkan tempoh pemerintahan dengan perasaan yang sedih kerana perpisahan ini, namun dengan perasaan gembira kerana berangkat pulang untuk bersemayam di Pahang Darul Makmur bersama dengan rakyat.
Seri Paduka turut menyeru kepada rakyat agar menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat serta kehamonian yang dinikmati di negara ini dengan sepenuh hati.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk bersama baginda berdua mendoakan agar rakyat serta negara dilimpahi keberkatan, kesejahteraan, kemakmuran dan dilindungi daripada sebarang bencana dan musibah, serta dikurniakan keafiatan, perpaduan dan keharmonian yang berpanjangan.
Sumber: Bernama
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI