Lisa Surihani meluahkan rasa syukurnya selepas selamat menjalani rawatan lasik bagi memulihkan penglihatannya yang rabun. Menerusi video yang dikongsikan olehnya di laman Instagram, dia tidak dapat menahan sebak sejurus selesai menjalani rawatan tersebut.
Ujar Lisa, ia merupakan pengalamannya yang tidak dapat dilupakan kerana dipinjamkan oleh Allah nikmat penglihatan buat kali kedua selepas hampir 29 tahun memakai cermin mata dan kanta lekap.
Selain itu, Lisa juga turut berkongsikan momen sewaktu menjalani pembedahan di pusat rawatan mata milik Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad. Lisa yang ditemani ibunya dilihat menitiskan air mata sewaktu memeluk Prof Muhaya selepas selesai melakukan prosedur.
Tambah Lisa, penggunaan kanta lekap selama 24 tahun memberikan kesan pada bahagian kornea matanya.
“Ini adalah gambar Lisa masa buat pemeriksaan mata 12 Disember 2019 yang lepas di @profmuhayaeyelasikcentre.
“Untuk yang tidak tahu, Lisa nak buat Flapless pada hari tersebut tapi nak dijadikan cerita, Lisa perlu tangguhkan pembedahan tersebut. Nak tahu sebab apa?
“Sebab… Penggunaan ‘contact lens’ bertahun- tahun ni (24 tahun guys) dah memberi kesan kepada struktur kornea Lisa!
“Tapi… Alhamdulillah Lisa berjaya juga melalui pembedahan Flapless setelah menjalani sesi terapi mata yang membantu struktur kornea Lisa kembali normal!” kongsinya.
Sebelum ini Lisa pernah memberitahu dia menggunakan kanta lekap sejak berusia sembilan tahun untuk penglihatan lebih jelas.