Telekung Berwarna, Berkerawang Sarat Dan Bersolek Tebal Ketika Solat. Hijabi Jangan Sampai Timbul Sifat Mazmumah.

Share

Pada asalnya telekung adalah berwarna putih dan tidak begitu banyak bunga hiasan atau kerawang tetapi hari ini terdapat banyak fesyen dan corak kerawang berwarna-warni. Ada juga mempersoalkan boleh ke sembahyang menggunkan telekung selain warna putih dan ada juga menpersoalkan tentang kerawang yang terlebih rias di telekung?

Hijabis dengan solekan juga tidak boleh dipisahkan, buat hijabi yang on the go pasti akan mementingkan solat dan ibadah tetapi dalam meniti kesibukan harian ada juga bersolek tetapi beralaskan wuduk untuk persediaan untuk solat. Persoalannya adakah solat sah sekiranya sudah bersolek.

Hukum Asalnya Harus Dan Haram Jika Mahu Menunjuk-Nunjuk

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan dalam menggunakan telekung berwarna-warni dan penuh kerawang. Di antara syarat sah solat adalah menutup aurat dan Islam tidak pula menetapkan warna tertentu dalam penggunaan pakaian solat dan Islam juga tidak menetapkan jenis atau bentuk pakaian tertentu untuk digunakan dalam solat.

Penggunaan telekung adalah sebahagian daripada adat resam berpakaian kepada sebilangan besar masyarakat kita di tanah Melayu ini. Samalah juga dengan penggunaan kain pelikat oleh lelaki dalam solat.

Hukum asalnya adalah harus menggunakan telekung tidak kira apa jua warnanya tetapi apabila dikira ia akan mengganggu tumpuan orang lain dengan keunikan corak dan kerawang yang banyak serta warna yang amat menarik perhatian orang lain maka saya rasa ada yang perlu ditegur di sini.

Apakah tujuan si pemakai telekung tersebut? Kalau ia hanya pakaian solat semata-mata tanpa ada niat lain maka harus tetapi boleh menjadi haram jika disertai oleh niat lain iaitu riak dan menunjuk-nunjuk maka hukumnya adalah haram kerana pemakainya sudah tidak ikhlas dan riak adalah sifat mazmumah yang perlu dihindari.

Kalau pemakainya ikhlas dan tidak ada tujuan lain dalam hatinya tetapi boleh mengganggu orang lain maka sebaik-baiknya hendaklah dia memakai pakaian lain yang sesuai. Dalam solat berjemaah kita hendaklah memakai pakaian yang sesuai dan berhati-hati dalam memilih pakaian walaupun tiada niat lain tetapi kita telah menarik perhatian orang lain maka dalam Islam itu sudah dianggap berhias yang boleh meresahkan orang lain.

Kepada hijabi yang memakai telekung yang boleh dianggap terlalu menarik dan boleh mengganggu tumpuan orang lain maka seeloknya hanya memakai telekung tersebut di rumah sahaja supaya tidak menimbulkan fitnah. Kadang-kadang si pemakai tiada niat dan tidak ada tujuan tidak baik tetapi pandangan dan fikiran orang lain yang suka menimbulkan kontroversi ataupun fitnah maka inilah peluang mereka menabur fitnah dan sangkaan-sangkaan buruk kepada si pemakai itu.

Apakah hukumnya bersolat dalam keadaan bersolek? Bagaimana pula solat dengan mengenakan telekung pelbagai warna dan berkerawang yang boleh mengganggu tumpuan orang lain.

Alat Solek Tidak Menghalang Air Terkena Kulit

Alat solek yang dibuat daripada bahan halal adalah harus digunakan manakala alat-alat solek yang dibuat daripada bahan-bahan tidak halal atau tidak suci maka hukumnya adalah najis dan tidak boleh dibawa di dalam solat.

Memakai alat solek dalam solat setakat yang dibenarkan oleh syarak adalah harus. Pemakai alat solekan hendaklah membasuh muka terlebih dahulu kerana ditakuti alat-alat solek itu tadi akan menghalang air daripada terkena kulit muka atau pewarna rambut yang menghalang air sampai kepada rambut ataupun pengilat kuku yang menghalang air sampai ke kuku.

Apa saja yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk akan mengakibatkan wuduk tidak sah. Apabila wuduk tidak sah maka solat pun tidak sah. Kepada hijabi yang ingin menggunakan alat solek hendaklah memastikan bahawa alat solek yang digunakan dibuat daripada bahan-bahan suci atau tidak najis.

Ini kerana produk-produk kecantikan pada hari ini ada yang menggunakan bahan-bahan najis dalam penghasilannya. Jadi bahan-bahan itu tidak boleh dibawa ke dalam solat. Misalnya ia diperbuat daripada bahan-bahan haiwan ataupun apa saja yang tidak halal.

Hijabi yang hendak menggunakan alat solek hendaklah membersihkan terlebih dahulu muka mereka daripada alat solek. Jika solekan penuh di muka, dikhuatiri air wuduk tidak sampai ke muka. Sebahagian hijabi suka kepada solekan melampau. Ini terlalu menarik perhatian orang lelaki dan solekan yang melampau ini adalah diharamkan dalam Islam.

Pastikan Bahan Halal & Suci

Kalau hendak bersolat maka sebenarnya tidak perlu bersolek, yang diperlukan adalah wuduk yang sempurna, pakaian yang sesuai dan sah dari segi syarak dan hati yang khusyuk bukannya solekan.

Sepatutnya sebelum menggunakan sesuatu produk itu kita hendaklah teliti terlebih dahulu bahan-bahannya, adakah ia diperbuat daripada bahan-bahan halal atau sebaliknya.

Perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia adalah penting sama ada kita boleh menggunakannya atau tidak. Kalau ia diperbuat daripada bahan-bahan suci dan halal tidak mengapa tetapi jika bahan-bahan najis yang haram apalagi bahan-bahan kimia yang boleh membawa kemudaratan maka ia adalah najis dan ia tidak boleh dibawa ke dalam solat.

SUMBER: Kartel Dakwah

Published by
SH