Tidak dinafikan kecanggihan dunia digital tanpa sempadan ini menyebabkan ramai hijabi yang berminat untuk menjadi instafamous. Mana tidaknya, kerjaya sebagai instafamous ini membolehkan mereka memperolehi pendapatan hingga mencecah lima angka. Namun perjalanan untuk menjadi popular tidak semudah yang disangka. Seseorang itu perlu korbankan masa dan segala-galanya bagi memastikan diri sentiasa berada di puncak populariti. Hal ini diakui oleh instafamous atau influencer Syafiqah Aina yang sebelum ini cukup viral dengan pelbagai kontroversi.
Pendapatan Cecah RM30K Sebulan
Menurut Syafiqah Aina, sudah lama dia bergelar influencer dan kerjaya ini cukup sebati dengan dirinya. Walau bagaimanapun bukan mudah untuknya bertahan memandangkan sekarang ini semakin ramai influencer yang muncul dengan pelbagai karakter.
“Saya anggap itu sebagai persaingan dan rezeki itu di tangan Allah. Alhamdulillah saya masih lagi menjadi pilihan jenama (terutama fesyen) untuk dijadikan platform mempromosikan produk mereka. Dan inilah yang menjadi punca utama pendapatan saya. Jika betul-betul buat, saya mampu jana pendapatan hingga mencecah RM30 ribu.
“Memang seronok bergelar influencer ini. Maklumlah ke mana-mana sahaja orang akan perhatikan. Begitu juga dengan penampilan di media sosial. Perlu diingat follower kita akan sentiasa memerhatikan apa yang kita buat. Jadi kita memang perlu sentiasa nampak cantik dan berpenampilan menarik tidak kira di luar atau dalam media sosial,” ujar Aina yang mengakui agak sukar untuk ‘maintain’ dan menjaga penanampilan setiap masa.
Tidak Mudah Jadi Influencer
Katanya lagi, kita juga perlu menjaga hati orang lain dan pastikan apa yang dibuat tidak membuatkan orang lain rasa tidak selesa atau ‘meluat’.
“Bukan sahaja penampilan, dari segi percakapan pun perlu dijaga sebaiknya. Maklumlah apa sahaja kata-kata yang keluar boleh dijadikan bahan viral di media sosial. Jadi pastikan berfikir dulu sebelum berkata-kata.
“Sebenarnya kita boleh jadi diri sendiri tapi kena bijak ‘control’ diri. Bukanlah maksudnya kena berpura-pura sepanjang masa, tetapi apa yang dilakukan harus tidak melampui batas. Tidak dinafikan ada kalanya memang stress sampai satu masa saya macam nak delete akaun IG. Tetapi bila fikir balik memang mustahil nak jaga hati semua orang sebaiknya,” ceritanya yang kini sudah mengumpul follower di IG hampir 700 ribu.
Jadi Diri Sendiri
Walaupun sering dihimpit kontroversi, tetapi keperibadian Aina menjadi inspirasi buat hijabi di luar sana yang mahu menjadi sepertinya. Dia bukan sahaja cantik, tetapi bijak dan juga turut memegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari UiTM.
Ketika ditanya bagaimana untuk menjadi instafamous berjaya sepertinya, Aina memberi tip di mana seseorang itu kena buat apa yang orang lain nak tengok.
“Memanglah tujuan kita jadi instafamous mahu menjana pendapatan melalui ‘paid review’. Tetapi janganlah asyik mempromosikan bisnes, sebaliknya perlu juga ‘post lifestyle’ kita. Mereka suka lihat sisi diri kita yang sebenar.
“Kita perlu buat apa yang orang suka tengok dan membuatkan mereka akan follow kita. Jangan buat posting yang menjengkelkan kerana boleh mencacatkan imej kita sebagai seorang instafamous. Apa-apa pun kita perlu jaga nama dan jangan sesekali buat apa yang orang tak suka,” tambah Aina yang ditemui ketika majlis pelancaran produk Bella Boo di MIHAS baru-baru ini. Sejak jadi popular ini, dia juga rasa terharu apabila ada peminatnya yang datang padanya mengajak bergambar.
Turut Bergelar Usahawan
Dia yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Hafiz yang juga sering menjadi perhatian netizen.
Selain bergelar instafamous, Aina juga kini bergelar usahawan dan sedang mempromosikan produk penjagaan wajah yang diusahakan bersama suaminya. Pada awalnya produk serum yang diusahakan ini juga turut mendapat kecaman kerana dikatakan boleh merosakkan kulit wajah. Namun sebagai usahawan baru, Aina menerima segala pandangan negatif yang dilemparkan dengan baik.
“Bagi yang tak kenal betul-betul produk ini memang tak tahu kesannya. Tetapi apabila mereka menggunakannya barulah tahu keberkesanannya. Alhamdulillah produk ini semakin mendapat sambutan dan sudah terjual lebih 40 ribu botol. Permintaaanya juga semakin bertambah dari masa ke semasa.
“Dalam hal ini kami tidak melatah dengan apa yang dilemparkan netizen di luar sana. Segala yang negatif saya simpan dan lihat apa lagi yang boleh diperbaiki. Memang dari dulu asyik kena kecam dan daripada situ saya ambil kesempatan berdoa agar terus dimurahkan rezeki. Itu juga adalah rahsia kejayaan kami,” kata Aina yang masih belum berkesempatan berbulan madu setelah beberapa bulan berkahwin kerana kesibukan bekerja.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM SYAFIQAH AINA
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI