Situasi bila ada kenduri akan adalah yang akan membungkus makanan untuk dibawa pulang ke rumah. Biasanya mereka yang bertanggungjawab menyediakan makanan para tetamu.
Ia seakan perkara biasa di kalangan masyarakat kita. Persoalannya bolehkah sebenarnya kita ‘tapau’ makanan kenduri dan bawa pulang ke rumah.
Berikut penjelasan jelas dan lengkap yang dipetik daripada laman web Laman web Mufti Wilayah Persekutuan
SOALAN:
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum tapau makanan kenduri? Terima kasih Datuk.
RINGKASAN JAWAPAN:
Hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis.
Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.
Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram.
HURAIAN JAWAPAN
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.
Sebagaimana kebiasaan, mereka yang menghadiri majlis kenduri perkahwinan, menyambut menantu atau seumpamanya akan dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah hidangan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kenduri bererti perjamuan makan (yang lazimnya didahului oleh zikir, doa, dan sebagainya) kerana sesuatu tujuan keagamaan, meminta berkat, mendoakan orang yang telah meninggal, memperingati sesuatu peristiwa atau sebagainya.
Sekiranya diperhatikan, aktiviti perjamuan makan ini terpakai ke atasnya suatu konsep atau akad yang dipanggil sebagai al-Dhiyafah (الضيافة) iaitu menjamu tetamu. Ia berbeza dengan akad hibah dari sudut pemilikan oleh kerana akad hibah merupakan sebuah akad pemilikan barangan dan bukannya manfaat.Pun begitu, ia agak hampir dengan akad pinjaman (العارية), dari sudut ketika menjamah makanan yang dihidangkan.
Hal ini kerana, berlakunya konsep al-Ibahah (الإباحة). Konsep ini terbahagi pula kepada dua jenis iaitu Ibahat al-Intifa‘ (إباحة الانتفاع) iaitu keharusan untuk mengambil manfaat dan Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) yakni keharusan untuk menggunakan sepenuhnya atau menghabiskannya, dan aktiviti kenduri dan jamuan makan kepada tetamu ini terletak di bawah jenis Ibahat al-Istihlak (إباحة الاستهلاك) iaitu keharusan untuk menghabiskannya.
Namun, di bawah akad al-Dhiyafah (الضيافة) ini juga, tetamu hanya diberikan kebenaran untuk menjamah makanan yang dihidangkan hanya untuk dirinya tanpa diharuskan untuk mengambilnya atau memberi makan pula kepada orang lain mahupun kucing. Meskipun begitu, sekiranya ada keizinan daripada tuan rumah atau pemilik makanan, maka ia diharuskan.
Oleh itu, persoalan utama yang perlu diketengahkan di sini adalah makanan kenduri ini akhirnya menjadi milik siapa? Maka, dalam hal ini, Imam al-Syirbini ada menyatakan tentang perkara ini di dalam karyanya ‘Mughni al-Muhtaj’ bahawa makanan yang dihidangkan menjadi milik tetamu sesudah ia dimasukkan ke dalam mulut.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berkenaan hukum tapau, tapau menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan membungkus (makanan dan lain-lain) untuk dibawa pulang dan sebagainya. Berkenaan hal ini, Imam al-Syirbini ada memberikan jawapan yang umum terhadap soalan yang diajukan:
فَهَلْ لَهُ أَنْ يُبِيحَهُ لِغَيْرِهِ أَوْ يَتَصَرَّفَ فِيهِ بِغَيْرِ الْأَكْلِ؟ وَجْهَانِ الصَّحِيحُ قَوْلُ الْجُمْهُورِ لَا يَجُوزُ كَمَا لَا يُعِيرُ الْمُسْتَعِيرُ، فَالْمُرَادُ أَنَّهُ يَمْلِكُ أَنْ يَنْتَفِعَ بِنَفْسِهِ كَالْعَارِيَّةِ لَا أَنَّهُ مَلَكَ الْعَيْنَ كَمَا تَوَهَّمَهُ بَعْضُهُمْ
Maksudnya: Maka adakah seseorang itu dibolehkan untuk memberikannya (makanan) kepada orang lain atau dia menggunakannya untuk selain makan? Di sini terdapat dua pendapat, dan pendapat yang sahih ialah pendapat jumhur ulama iaitu tidak boleh sebagaimana tidak boleh bagi orang yang meminjam memberi pinjam kepada orang lain. Hal ini kerana, dia hanya memiliki makanan tersebut untuk manfaatnya tersendiri sebagaimana pinjaman, dan bukannya memiliki ‘ain (objek) barangan tersebut.Melainkan sekiranya adanya keizinan daripada tuan majlis atau tuan rumah, atau adanya uruf yakni adat kebiasaan di kawasan itu yang menunjukkan diperbolehkan perbuatan tapau untuk benda yang kecil atau sedikit, atau juga adanya petanda lain (قرينة) yang membenarkan perbuatan tersebut
.Akhir kalam, perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ
Al-Baqarah, 2:188
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”
Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut. Wallahu A’lam.
Sumber kredit: Laman web Mufti Wilayah Persekutuan Sumber gambar: www.pexels.com
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.