Tampil Berhijab Tanda Hormat, Salur Bantuan RM29,000 Kepada Masjid, Penampilan Hannah Yeoh Mempersonakan!

Share

Baru-baru ini penampilan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berhijab sewaktu menyampaikan sumbangan sebanyak RM 29,000 kepada Masjid Al-Imam Al-Ghazali mencuri perhatian.

Ahli Parlimen Segambut itu, terlihat begitu manis dan mempersona dalam persalinan baju kurung bertanah hitam berbunga merah dan mengenakkan tudung dalam rona tanah atau sand beige.

Hijabista difahamkan tujuan Hannah memberi sumbangan kepada masjid tersebut adalah untuk meringankan sedikit beban yang dipikul oleh pihak pengurusan masjid bagi membeli sebuah lagi van jenazah.

Sumbangan Adalah Tambahan Kepada Dana Sedia Ada Yang Dikumpul Masjid

Memetik laporan Awani, Hannah berkata sumbangan berkenaan adalah penambahan kepada dana sedia ada yang telah dikumpulkan oleh pihak masjid bagi tujuan berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak masjid mengenai keperluan mendapatkan sebuah van jenazah dan difahamkan mereka telah mengumpulkan dana tetapi masih tidak mencukupi.

“Saya sudah lihat kertas permohonan mereka dan saya telah menyalurkan RM29,000 untuk mencukupkan peruntukan itu.”

“Saya percaya van jenazah ini akan memanfaatkan penduduk Segambut yang memerlukan kerana penyewaan sebuah van biasa agak mahal,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia berharap agar perkara sama dapat dilakukan oleh mana-mana wakil rakyat lain yang turut memimpin di bawah tampuk pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, ini demikian agar kebajikan rakyat dikawasan pimpinan wakil rakyat itu dapat dijaga tanpa mengira kaum dan agama, walaupun berbeza budaya dan bangsa.

“Apabila permohonan (dana) masuk, saya tak lihat agama ini kena bagi berapa dan sebagainya, kalau ada apa sahaja keperluan kita akan salurkan mengikut kemampuan. Saya turut berterima kasih kepada penderma dana yang telah membantu membolehkan pembelian van ini,” jelas Hannah.

Cantik YB Berhijab Dan Berbaju Kurung!

Selain, sumbangan yang diberikan, penampilan Hannah Yeoh yang sopan berbaju kurung dan mengenakan tudung kerana menghormati masjid turut menjadi bualan dikalangan warga maya.

Malah, dapat dilihat keayuan dan persona Hannah Yeoh begitu terserlah sewaktu mengenakan pakaian tradisi melayu itu.

Artikel berkaitan: “Dari Satu Van Jenazah, Sekarang Sudah Menjadi Empat. Allah Permudahkan Urusan,” – Noorkhiriah Bersyukur Ramai Yang Menyumbang

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Hannah tampil ke masjid dengan memakai pakaian sopan dan mengenakan hijab.

Terdahulu, pada 30 November Hannah Yeoh pernah turun padang untuk menyantuni penduduk di dalam masjid sama dengan penampilan berhijab penuh dan berbaju kurung, persis wanita Melayu.

Hijabista mendoakan agar, satu hari nanti Hannah Yeoh memperoleh hidayah dan dapat berhijrah kearah yang lebih baik.

Terima kasih kerana menjadi wakil rakyat yang membantu rakyat tanpa ‘pilih kasih’, diharapkan usaha murni Hannah Yeoh ini kekal istiqamah dan menjadi teladan buat pemimpin lain.

Sumber: Instagram Hannah Yeoh & Astro Awani

Artikel berkaitan: Noorkhiriah Jadikan Kereta MPV Van Jenazah, Sediakan Perkhidmatan Percuma #VanJenazah

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir