Apabila berbicara mengenai kisah seorang artis yang popular dengan lagu Kalis Rindu ini, pasti ramai yang teringat tentang perjuangannya selama lebih 10 tahun melawan sakit kanser yang dihadapinya. Kesabaran dan ketabahan menjadi kunci utama dirinya menghela nafas lega kerana kini, dia bebas dari penyakit kanser limfoma tahap empat.
Pun begitu, Elyana atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal meluahkan rasa kecewanya apabila timbul isu yang mengatakan bahawa Elyana hanya menipu dan membuat cerita tentang penyakit kanser yang dialaminya sebelum ini.
Kongsi Elyana, tuduhan yang tidak berasas itu juga turut datang dari kalangan rakan rapatnya yang sememangnya tahu penderitaannya selama lebih 10 tahun menghadapi kanser limfoma.
Sebenarnya, mereka lebih tahu ‘struggle’ saya macam mana sepanjang saya menderita mengalami sakit kanser. Anak-anak sehingga tidak bersekolah kerana saya harus ulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanser yang menyerang dan merebak ke rahim, hati dan pangkal paha memerlukan saya selalu ke hospital.
Namun, ternyata pelakon yang pernah membintangi drama Dunia Baru itu tidak mudah melatah. Baginya, mereka hanya pandai cakap sahaja dan tidak membantu apa pun sewaktu dirinya sakit melawan kanser. Jadi, dia tidak ambil peduli dan sudah memaafkan pihak yang mengeluarkan fitnah terhadap dirinya.
Walaubagaimanapun, ada juga diantara yang mereka yang meminta maaf kepadanya menerusi pesanan langsung (DM) terutamanya dari warganet sendiri. Kongsi Elyana, dia sudahpun memaafkan mereka dan bersyukur kerana mereka sedar akan kesalahan yang dilakukan itu.
Alhamdulillah, mereka sedar akan kesalahan mereka itu. Saya maafkan.
Tambahnya lagi, mana mungkin dia akan membuat cerita atau menipu tentang penyakit yang dialaminya. Percaya tentang konsep kifarah, Elyana sendiri akui bahawa setiap kata-kata yang dikeluarkan merupakan satu doa.
Oleh kerana itu, Elyana menasihati semua orang untuk sentiasa menjaga pertuturan dan berfikir dahulu sebelum mengatakan sesuatu kepada orang lain.
Saya percaya tentang kifarah. Andai kata kita bercakap buruk tentang seseorang, Allah SWT pasti akan membalas perbuatan kita sekelip mata sahaja. Jadi, jagalah kata-kata dan pemikiran.
Elyana yang kini dilihat semakin bahagia dan aktif selepas menderita sakit selama lebih 10 tahun berkongsikan bahawa dia masih mempunyai empat kali rawatan kemoterapi setiap dua kali seminggu. Pada Disember lalu, Elyana memuat naik perkongsian di Instagram miliknya tentang perkhabaran gembira dirinya bebas dari kanser limfoma tahap empat.
Sumber: Utusan Malaysia
Sumber gambar: Instagram Elyana
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.