Sebuah lagi perkongsian tentang perjalanan menurunkan berat badan yang dapat memberikan inspirasi kepada semua mata yang membaca. Sungguh, penulisan artikel ini bukanlah sebuah bahan untuk mengatakan kurus itu cantik. Tetapi, ia merupakan sebuah bingkisan yang ingin mengajak anda semua berubah ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan berkualiti.
Siti Syahira Abdul Halim atau lebih selesa dipanggil Syera, 30, tidak kekok menceritakan tentang perjalanannya dalam menurunkan berat badan. Berjaya menghilangkan berat sebanyak 13 kg selama 4 tahun, bukanlah sebuah proses yang mudah. Ia memerlukan semangat yang kental dan prinsip diri yang teguh untuk mencapai berat badan yang diimpikan. Eksklusif bersama Majalah Hijabista, Syera berkongsikan tentang kisah saiz badannya.
Misi saiz M
Pastinya setiap perubahan itu berlaku ada sebabnya. Sama juga dengan Syera yang merupakan seorang cikgu serta instruktor zumba, misi menurunkan berat badannya bermula apabila dia dan saudara-maranya berbual mengenai berat badan mereka.
Menurutnya, pada tahun 2016, ketika itu dia dan saudara-maranya yang lain membincangkan mengenai bentuk badan mereka yang bersaiz besar. Tidak selesa dengan saiz yang dimiliki ketika itu, mereka terus berazam untuk menjayakan ‘Misi Saiz M’. Akhirnya, Syera berjaya menurunkan berat badan sebanyak 13 kg!
Langkah pertama, senaman untuk kurus!
Bertanyakan mengenai senaman yang dilakukan saat mula-mula menurunkan berat badan, senaman zumba serta aerobik menjadi pilihan dirinya. Tidak berkeseorangan, dia ditemani oleh saudara rapatnya menghadiri kelas zumba dan aerobik di Kompleks Paralimpik, Ampang. Pun begitu, oleh kerana saat itu tubuh badannya besar, senaman zumba memberi sedikit masalah kerana pergerakan senaman yang laju. Tidak menjadikan itu sebagai noktah dalam misi mencapai saiz M, dia cuba beralih fokus kepada senaman aerobik selama sebulan. Selepas berjaya menurunkan sedikit berat badan, dia kembali mencuba melakukan senaman zumba sehinggalah dirinya jatuh hati pada senaman itu.
Langkah diatur, pada tahun 2017, dia mengambil sijil untuk menjadi seorang instruktor zumba. Sehingga hari ini, rasa cintanya pada dunia zumba tidak pernah padam dan menjadi salah satu motivasi bagi dirinya untuk kekal sihat, cergas dan aktif! Malah, untuk dirinya mendapat tubuh yang fit, Syera juga turut menyertai sesi ‘personal training’ secara berkumpulan di One More Step Gymnasium, Sri Serdang.
Dari 85 kg turun sehingga 72 kg!
Berbicara mengenai senaman yang dilakukan ketika mula-mula melakukan proses menurunkan berat badan, Syera melakukan senaman zumba sebagai salah sebuah senaman jenis kardio dalam rutin hariannya. Tambahan pula, sebagai instruktor zumba, jadual hariannya tidak pernah henti dengan zumba. Untuk menjadikan rutin senamannya lebih berkualiti, dia juga melakukan ‘weight training’ bersama pelatihnya selama 4 kali seminggu.
Kini, dia meletakkan misi yang baru untuk mencapai berat sebanyak 67 kg!
Memiliki ‘shape’ yang menarik, punca inspirasi diri..
Genggam bara biar sampai menjadi arang. Memulakan sesuatu itu haruslah dilakukan sehingga tamat dan disulami dengan usaha dan semangat yang kental, supaya kejayaan boleh diraih dan membuatkan kita tersenyum di akhir nanti.
Sama seperti Syera, sepanjang proses mencapai misinya, pastinya rasa culas, malas dan kurang bermotivasi hadir dalam diri. Namun, saat dia melihat semula gambar-gambar lama dan mula merasakan dirinya sudah sedikit berisi, menjadi salah satu faktor untuk kekal berdisiplin. Malah, kadang-kala, dia rasa tidak selesa ketika memakai baju. Itu juga salah satu petanda untuk dirinya bersemangat melakukan rutin hariannya yang sihat!
Sempat juga penulis bertanyakan tentang perkara yang membuatkan dia suka apabila berjaya mencapai misinya. Jawapannya;
“Dapat memakai pakaian tanpa risau tentang saiz. Selain itu, saya gembira apabila melihat bentuk badan yang sudah memiliki ‘shape’ yang menarik dan fit! Dari aspek dalaman pula, saya tidak mudah berasa penat seperti dahulu dan boleh melakukan kerja dalam tempoh yang lebih lama.”
“Jangan paksa diri untuk jadi kurus sehingga sakit..”
Menutupi ruang penulisan ini, Syera berpesan kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan supaya sentiasa kekal berdisiplin untuk meraih berat badan yang diimpikan.
“Kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan, tidak mengapa jika ada kalanya, anda kurang bermotivasi. Namun, carilah punca inspirasi untuk bangkit kembali dan terus kekal sihat dan fit. Fikirkan untuk jangka masa yang panjang. Sesungguhnya, senaman yang kita lakukan itu untuk memberi kebaikan hingga ke hari tua. Percaya ataupun tidak, saya selalu jadikan anak murid yang menyertai kelas zumba saya sebagai contoh. Ada diantara mereka yang sudahpun mencecah usia 50 tahun dan ada juga yang hampir 60 tahun. Namun, mereka masih kelihatan muda dan bertenaga! Ia juga antara salah satu motivasi saya untuk terus melakukan senaman. Apa yang penting, jangan terlampau memaksa diri untuk jadi kurus sehingga sakit. Ada baiknya anda luangkan masa untuk kaji dan fahami kehendak tubuh badan anda. Percayalah, ia mungkin sakit di permulaan saat ingin berubah, namun manis di hujungnya apabila kita berjaya mencapai apa yang diimpikan. Oleh itu, jangan pernah berputus asa!”
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe