Bergelar instafamous atau ‘influencer’ menjadi impian hijabi masa kini. Bukan sahaja terdedah dengan dunia glamor, tetapi juga menjanjikan pendapatan lumayan.
Hal ini turut diakui oleh influencer menggunakan nama Faralisa atau nama penuhnya Farah Anisah. Berusia 20 tahun Farah yang mempunyai follower berjumlah 236,000 di laman Instagram. Malah siapa sangka dalam usia masih muda itu, dia mampu menjana pendapatan hingga mencecah belasan ribu ringgit dengan menjadi influencer serta model bagi produk busana dan tudung. Bukan itu sahaja, Faralisa juga turut dilantik menjadi duta untuk produk penjagaan wajah.
Hijabista berkesempatan mengundangnya ke studio untuk berkongsi pengalaman bergelar personaliti media sosial sejak tiga tahun lalu.
Buat Paid Review Sejak Sekolah Menengah
Gadis manis yang berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ini berkata dia memulakan kerjaya dalam bidang ini ketika masih bersekolah menengah lagi.
“Saya terbabit dalam bidang ini ketika usia masih belasan tahun, itu pun sekadar suka-suka dan tidak sangka dari sehari ke sehari ada peningkatan dari segi follower. Awalnya hanya lebih 100 orang kini lebih 200,000 pengikut. Produk pertama yang saya review adalah tudung. Selepas bergelar influencer, saya mula mendapat tawaran untuk menjadi model pula.
“Memang pada masa ini, influencer yang ramai pengikut menjadi pilihan pengasas produk untuk membuat review produk. Jadi, daripada situ bermula segalanya.
“Keseronokan bergelumang dalam bidang tersebut bagaimana pun banyak membantu saya terutama mendisiplinkan diri, berdikari, menepati masa, menjaga mood dan banyak yang saya belajar dalam bidang ini.
“Soal kata-kata orang kononnya influencer ini mengejar glamor semata-mata adalah salah. Sebenarnya influencer boleh jadi tidak ada bakat tapi memiliki follower yang ramai jadi secara tidak langsung mereka ini bermula dari bawah. Belajar sedikit demi sedikit, lama-kelamaan bakat itu datang secara automatik.” ungkap Farah yang tidak menolak pernah dikecam netizen.
Tak Ambil Pusing Pasal Kecaman
Namun dia tidak mengambil pusing hal tersebut. Tambah Farah lagi, dia mengambil pendekatan menutup laman instagramnya jika berlaku sebarang kecaman kerana tidak mahu ia terus berlarutan.
“Memang kecaman akan diterima oleh mereka yang mempunyai ramai pengikut. Pasti ada sahaja yang tidak kena, sebagai contohnya kapsyen yang diletakkan itu boleh saja disalah tafsir oleh netizen terutama yang suka berfikiran negatif. Jadi saya memilih untuk deactivate Instagram lebih kurang seminggu untuk bagi keadaan reda kembali.
“Tidak timbul soal hilang follower kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana sahaja asalkan kita berusaha. Walaupun pendapatan saya bergantung sepenuhnya kepada kerjaya model dan duta selain paid review’.
“Memang agak terseksa sebenarnya namun demi memastikan persekitaran saya jauh dari perkara negatif, saya reda. Biasanya follower akan bertanyakan hal saya di laman instagram kakak atau kawan baik saya. Memang boleh jadi ‘sesak’ instagram mereka ketika itu,” ujar gadis manis yang sudah mempunyai teman hidup ini.
Jujur mengakui ahli keluarganya tidak membenarkan dia terjebak di dalam bidang ini kerana mahukan dia menyambung pengajian, namun hati dan jiwanya sudah ke arah bidang ini membuatkan dia nekad untuk meneruskan.
“Kalau diikutkan famili memang tidak izinkan, tetapi saya sudah terjebak dan nak tak nak saya terpaksa teruskan. Sementelah minat saya memang ke arah bidang ini. Justeru, saya kena buktikan kepada keluarga bahawa bidang ini juga boleh menjamin masa depan.
“Akhirnya apabila keluarga nampak apa yang saya lakukan ini ada manfaatnya dari segi memberi pendapatan, jadi mereka mulai faham dan menyokong,” ujar Farah lebih suka mengikut cara sendiri dibandingkan memilih cara yang ‘gila’ untuk sesuatu paid review.
Belum Pernah Bercuti Dengan Rakan-Rakan
Memilih Santorinis sebagai tempat impiannya untuk bercuti, cerita Farah pengalaman ke Jepun atas urusan kerja adalah sesuatu yang sukar untuk dilupakan. Namun begitu akui Farah setakat ini dia belum pernah bercuti sendiri atau melancong bersama kawan-kawan. Sebaliknya lebih banyak travel untuk urusan kerja.
Dalam pada itu biarpun tampak lemah lembut dan sopan, Farah seorang yang ‘sempoi’ dan sukakan imej rockers.
“Saya bukan jenis yang ‘ayu’ atau suka gaya yang ‘keperempuanan’, sebaliknya lebih suka gaya yang funky dan rock. Soal pemakaian tudung pula sebenarnya saya ‘dipaksa’ ketika berumur 16 tahun. Ayah antara orang yang banyak memberikan galakan.
“Namun, apabila kita mula berhijab, secara automatik kita jadi segan dan malu untuk membukanya,”jelas Farah yang tidak mempunyai idola dalam berhijab, sebaliknya dia mahu menjadi diri sendiri
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI