Sebagai rakyat biasa, pastinya kita tidak sabar menantikan detik Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini. Istimewa majlis itu nanti menyaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mengenakan kain Tenun Diraja Pahang sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Baginda turut berkongsi beberapa keping gambar hasil tenunan itu di laman Twitter rasmi, @cheminahsayang, malam tadi.
Sementara itu dalam laporan Bernama
kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri dan ia bertambah unik dan istimewa kerana tenunan khas tersebut adalah hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah hari ini berkenan menerima persembahan hasil kain tenunan tersebut di Istana Negara di sini, termasuk empat pasang tenunan khas sebagai persalinan Raja Permaisuri Agong pada istiadat pertabalan itu nanti.
Ketika ditemui pemberita, Tunku Azizah bertitah Penjara Penor dan Bentong dipilih untuk menghasilkan persalinan baginda pada istiadat pertabalan itu sebagai tanda penghargaan Raja Permaisuri Agong selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.
“Memang Beta mahu penjara yang buat baju untuk Beta pakai pada hari pertabalan. Beta sangat bangga untuk memakainya. Ini merupakan satu penghormatan kepada Beta dan Beta juga ingin memberi penghormatan kepada mereka.
“Ada juga rekaan tenunan yang memasukkan lambang Negeri Pahang. Dua minggu sekali Beta akan ke Penjara Penor dan Bentong untuk melihat sendiri perkembangan kerja tenunan yang dilakukan,” titah Tunku Azizah selepas majlis itu.
Baginda turut bertitah Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat Pahang sejak 300 tahun lalu.
Tunku Azizah yang mengagumi hasil kerja tenunan yang dipersembahkan itu bertitah baginda memperoleh ilham bagi rekaan tenunan itu antaranya daripada alam semula jadi dan keadaan sekeliling seperti biji kopi dan bayang-bayang pagar.
Baginda turut bertitah hasil upah menenun kain itu akan diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan dan berharap kemahiran menenun akan dapat diperluaskan bagi memelihara warisan dan tradisi Melayu.
KREDIT FOTO: TWITTER TUNKU AZIZAH AMINAH
SUMBER: BERNAMA