Wajahnya pernah menghiasi barisan busana dan hijab Muslimah. Tidak dapat dinafikan kerjaya sebagai model Muslimah menjanjikan pendapatan yang lumayan. Disimbahi dengan bidikan cahaya kamera umpama makanan harian buat wanita pemilik nama Arina Ayuni Md Zolbahrem.
Namun itu cerita dahulu. Arina Ayuni atau lebih mesra dengan sapaan Arina kini mencabar diri dengan menerokai kerjaya alternatif sebagai ejen takaful atau lebih dikenali sebagai Perancang Hayat dengan AIA Malaysia. Berusia 27 tahun, Arina berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Linguistik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Satu kelebihan buat Arina apabila dia juga dikenali sebagai seorang social influencer. Akaun Instagram Arina iaitu yunizolbahrem kini mencecah sehingga 116,000 pengikut. Arina menggunakan kesempatan ini dengan menjadikan platform media sosial sebagai strategi pemasaran yang paling ampuh.
“Bagi saya media sosial merupakan platform yang paling berkesan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan perlindungan takaful. Selalunya saya akan memuatnaik video yang memberi informasi kepada orang ramai tentang takaful sama ada di Instagram dan juga Instagram Story,” ujar Arina.
Jelas Arina, dia merasakan bidang kerjaya ini bukan sahaja sesuai dengan dirinya namun dalam masa yang sama dapat menguji keupayaan ‘membuat jualan.’ Apa yang lebih penting, dia dapat membantu orang ramai membina masa depan yang lebih terjamin.
PELUANG TERBENTANG DI DEPAN MATA
“Pertemuan dengan salah seorang rakan suami merupakan titik permulaan saya berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai Perancang Hayat. Saya begitu teruja dan ikut ceramah kerjaya yang dianjurkan oleh sebuah agensi insurans dan takaful yang bernaung di bawah AIA.
“Dari situ saya lihat peluang untuk saya pergi jauh dalam bidang ini terbentang luas di depan mata. Kerjaya sebagai Perancang Hayat AIA bukan sahaja memberi ganjaran yang menarik, tetapi juga fleksibiliti dalam mengatur kehidupan harian.
Alhamdulillah hanya dalam tempoh tiga bulan pertama menyertai kerjaya sebagai Perancang Hayat, pendapatan bulanan yang saya peroleh hampir 3 kali ganda berbanding pendapatan tetap yang dahulu. Paling menarik saya juga berpeluang mengikuti insentif percutian ke Chiang Mai, Thailand. In Shaa Allah tidak lama lagi saya akan melancong ke Gold Coast, Australia pula,” ujar Arina yang baharu setahun menjadi ‘ahli keluarga’ AIA.
TERPIKAT DENGAN AIA ELITE ACADEMY
Memulakan latihan pada hujung tahun 2018, Arina secara rasminya bergelar Perancang Hayat pada Januari 2019. Melalui AIA Elite Academy yang menawarkan program selama 18 bulan, Arina bukan sahaja diberikan latihan pengkhususan dan pengetahuan kewangan malah selok belok pemasaran media sosial.
Program pertama seumpama ini turut menyediakan latihan individu serta pementoran kepada Perancang Hayat yang terpilih disamping menawarkan pelbagai sokongan lain termasuk skim pembiayaan yang bertujuan membantu mereka memulakan kerjaya dengan asas yang kukuh di AIA.
“Bulan pertama sahaja saya sudah dapat rasakan tekanannya. Memang ia agak mencabar memandangkan saya terpaksa mendekati orang tidak dikenali dan mengalami penolakan yang bagi saya ‘menyakitkan.’ Pengalaman ‘ditolak’ oleh seorang rakan membuatkan saya rasa putus asa sehingga saya menangis. Saya tidak pernah mengalami situasi orang ‘lari’ dari saya dan ia suatu yang menyedihkan.
“Saya bersyukur kerana di kelilingi senior-senior yang banyak membantu dan beri tunjuk ajar. Bergerak di bawah agensi PJ Luna Stella, saya belajar memperbaiki diri dari hari ke hari. Jika pada mulanya saya merasakan yang penolakan itu satu perkara yang memberikan impak sangat besar dalam hidup saya namun sekarang penolakan itu saya anggap sebagai peluang untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.
“Secara jujurnya AIA Elite Academy banyak membantu memperbaiki kemahiran saya untuk menjadi Perancang Hayat yang lebih baik. Bayangkan sekecil-kecil skil seperti membina dialog, cara berhadapan dengan prospek klien sehinggakan etika dan adab ketika makan pun didedahkan, pendek kata A-Z semuanya diajar,” jelas Arina.
AIA Elite Academy sangat mengalu-alukan Perancang Hayat baharu yang bersemangat untuk menjadi yang terbaik dalam profesion ini. Dalam masa yang sama juga turut berkongsi misi yang sama dengan AIA untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
“Saya akui kerjaya sebagai Perancang Hayat ini amat berbeza dengan kerjaya sebagai sebagai model Muslimah. Jika sebelum ini orang mencari saya tetapi kali ini saya pula mencari orang. Ibu pada mulanya tidak menggalakkan saya menyertai bidang ini namun selepas saya mengikuti ceramah daripada pihak agensi AIA, saya terfikir, kalau orang lain boleh buat mengapa saya tidak.
“Sememangnya saya amat ‘terpikat’ dengan program AIA Elite Academy. Di samping insentif yang menarik seperti elaun dan komisen serta trip perjalanan percuma, bagi saya kerjaya sebagai Perancang Hayat merupakan pilihan kerjaya untuk jangka masa panjang,” tutur Arina.
SESUAI UNTUK GENERASI MUDA
Bercerita lebih lanjut lagi, kongsi Arina, untuk tiga bulan pertama, dia perlu mengikuti kelas tiga kali seminggu diikuti dua kali seminggu. Melalui program AIA Elite Academy, semua Perancang Hayat berkongsi kemahiran dan pengalaman masing-masing. Tiada istilah ‘simpan sendiri’ walaupun berlainan agensi.
“Bukan mudah untuk menukar pemikiran daripada ‘makan gaji’ kepada pendapatan berasaskan komisen. Memang ada yang takut dan tertanya-tanya bolehkah mereka berjaya apabila ‘terjun’ dalam industri takaful. Bagi saya jika kita tidak cuba, kita tidak akan tahu hasilnya. AIA sudah sediakan semuanya jadi tinggal kita untuk melaksanakannya, pendek kata antara mahu atau tidak sahaja,” ungkap Arina.
“Kerjaya sebagai Perancang Hayat ini sebenarnya umpama memiliki bisnes sendiri. Perlu bekerja keras untuk mendapatkan hasilnya. Buat generasi muda, tidak rugi untuk melibatkan diri dalam kerjaya ini. Yang penting ada minat dan usaha untuk mengembangkan kerjaya, In Shaa Allah anda boleh pergi lebih jauh,” akhiri Arina.
Inginkan kerjaya yang lebih fleksibel dengan tawaran ganjaran yang menarik?
Layari www.aia.com.my/eliteacademy untuk informasi lanjut.