Aktres terkenal iaitu Fauziah Nawi hari ini menzahirkan rasa sedihnya menerusi siaran langsung di Facebook (Facebook Live) mengenai pemergian anaknya yang tercinta iaitu seorang pengarah filem, Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau Pitt Hanif.
“Pitt, mama minta maaf sebab mama tak dapat jaga Pitt sebagaimana mama janji dengan arwah baba dulu. Berakhir sudah kehidupan anak saya di usia 43 tahun,” kata Fauziah.
Mayat anaknya itu ditemui di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis, Pahang kira-kira jam 4.25 petang tadi. Penemuan itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pengarah filem Coast Guard itu dikhuatiri lemas ketika memancing di sungai terbabit, 11 pagi, semalam.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh semua. Saya Fauziah Nawi mengumumkan bahawa jenazah anak saya, Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau Pitt Hanif ditemui dalam keadaan sangat elok.
“Saya kini berada di rumah dan Alhamdulillah menurut adik saya, Mohd Fauzi Nawi yang berada di lokasi mayatnya sudah ditemui.
“Anggota bomba bertugas memberitahu dia tak pernah jumpa jenazah secantik itu biarpun sudah dua hari berada dalam air,” katanya.
sumber: facebook Fauziah Nawi, instagram selebriti & Harian Metro