Amar Madfie & Zeed Jamel merupakan sahabat baik yang saling melengkapi. Dengan ilmu fesyen penuh didada, masing-masing memiliki kelebihan sendiri dalam mengemudi jenama yang mereka sayangi ini. Saat bertandang ke butik mereka, setiap rekaan yang dipamerkan cukup memukau pandangan. Paling penulis kagumi adalah kekemasan setiap hasil yang dipertontonkan, walaupun ada rekaan yang ringkas tanpa sebarang perincian namun kekemasan jahitan dan struktur rekaan menjadikan sentuhan mereka eksklusif.

Mengakui bahawa permulaan bukanlah mudah Amar berkongsi, “Untuk tiga tahun pertama kami memulakan perniagaan ini suasananya tidak terlalu meriah namun tidaklah menyedihkan sebaliknya ia mendatar sahaja. Pelanggan tetap memang ada yang mendapatkan khidmat kami, namun cukup-cukup untuk menampung segala kos dan membayar pekerja. Hanya setelah kami muncul di Anugerah Juara Lagu pada tahun 2018 menerusi Ernie Zakri barulah ramai yang membuka mata terhadap jenama ini. Kesudian Ernie menggayakan pakaian kami untuk pentas akhir AJL membawa tuah kepada jenama ini. Kemudian kami mementaskan koleksi perkahwinan di pertunjukan fesyen The Wedding KL 2018 seterusnya Miss Universe Malaysia 2018 menggayakan rekaan kami di pentas dunia. Satu kenangan yang cukup manis dan membuka mata banyak pihak terhadap jenama ini.”


Tahun lalu Amazè menawan hati pencinta fesyen dengan rekaan Kurung Kemilau yang sangat elegan dan eksklusif. Siapa sangka baju kurung tradisi diangkat tinggi dengan sentuhan dan perincian kemewahan. Dapat penulis lihat Ketika itu, banyak juga jenama-jenama fesyen lain yang menghasilkan rekaan kurung seakan-akan konsep Kurung Kemilau yang direka oleh duo fesyen ini.

IKLAN

“Bagi kami dunia fesyen berputar dengan laju, dan kita tidak boleh lari dari menginspirasikan orang lain. Bahkan sebagai pereka kita pun mengambil inspirasi dengan memerhati apa yang berlaku di sekeliling, kita oleh terinspirasi dengan banyak perkara. Permulaan Kurung Kemilau sebenarnya bermula dari seorang pelanggan kami yang mahukan gaya klasik namun nampak mahal. Bermula dari rekaan itu ramai pula mahukan gaya yang sama. Jadi kami memasukkan rekaan ini sebagai salah satu rekaan dalam koleksi ready-to-wed kami. Menggunakan konsep pra-tempahan untuk memudahkan pelanggan memilih saiz yang sesuai. Selesai baju dijahit kami akan pos busana tersebut kepada mereka,” ujar Zeed panjang.

Setiap pereka pasti memiliki idola dan orang yang mereka hormati di dalam bidang fesyen. Bagi duo ini, mereka cukup menggemari estetik jenama Valentino, Schiaparelli dan untuk industri fesyen lokal, mereka cukup mengagumi duo Rizman Ruzaini.

IKLAN

“Kami mengagumi jenama Rizman Ruzaini yang diasaskan oleh Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Jamil. Bagaimana kedua-dua mereka membina jenama tersebut sehingga berjaya meletakkan mereka antara pereka fesyen tersohor di Malaysia banyak memberikan inspirasi kepada kami untuk menjadi berjaya seperti mereka. Kalau nak tahu Rizman dan Ruzaini merupakan senior kami. Kami semua merupakan produk kelahiran jurusan fesyen dari Universiti Teknologi MARA. Paling kami tersentuh adalah, senior kami ini banyak memberikan nasihat kepada kami bagaimana untuk berjaya di dalam industri, biarpun kami berada dalam arena yang sama, mereka langsung tidak rasa tergugat sebaliknya mahu melihat kami berjaya. Kalau nak tahu, mereka turut mencadangkan kepada pelanggan mereka untuk turut cuba mendapatkan khidmat kami juga. Sebagai ‘adik’ di dalam industri ini kami bangga kerana memiliki senior yang sangat membantu,” kongsi Amar dan Zeed bila ditanyakan perihal ini.


IKLAN

Kini dengan kekuatan sebanyak lima orang pekerja di bengkel fesyen mereka, Amar dan Zeed mahu terus mencipta nama dan berjaya. Menurut mereka, bukan sekadar mahu popular namun mahu berjaya dalam perniagaan dengan cemerlang. Populariti semata-mata tidak menjamin jika perniagaan tidak diurus dan tidak berjalan dengan baik.

Sedikit nasihat dari dua insan kreatif ini kepada mereka yang mahu menjadi pereka fesyen, “Amazè bermula dari bawah. Kami tidak tergopoh gapah mahu memiliki jenama sendiri sebaliknya kami bekerja di bawah naungan orang lain dahulu. Belajar bagaimana selok belok dunia fesyen dan perniagaan sangat elok untuk menyiapkan diri sebelum mahu membina empayar. Pengalaman sangat penting agar kerana ia mampu menjadi panduan. Sebagai seorang pereka fesyen pula, kita harus tahu apa forte dalam rekaan kita. Jangan mudah terikut-ikut dengan gaya orang lain. Tidak dinafikan populariti juga penting, oleh itu gunakan platform media sosial dengan baik.”

Sebelum melabuhkan tirai perbualan kami, tidak sah jika berbicara bersama kedua-dua personaliti ini tanpa bertanya khabar pasca Covid-19 yang melanda dunia. Boleh dikatakan banyak perniagaan terjejas dan industri fesyen antara salah satu yang menerima impak besar. Berkongsi sedikit cabaran yang dihadapi, mereka meluah rasa, “Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan, bisnes kami memang terkesan. Hanya apabila kawalan ditukar menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) barulah kami mula beroperasi. Agak mencabar kerana semua tempahan yang kami terima tidak melalui proses fitting bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Kemudian barulah kami perlahan-lahan menerima tempahan untuk busana pernikahan dan perkahwinan. Sekarang ini Alhamdullilah, bisnes mula kembali rancak seperti sebelum ini.”

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI