‘Tak Perasan Waktu Pantasnya Pergi, Tiada Kubur…’- Zarul Umbrella Kongsi Kisah Waris MH370

Share

Pada 8 Mac 2014, dunia telah dikejutkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH 370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama penumpang serta anak kapalnya seramai 239 orang.

Walaupun enam tahun telah berlalu, tragedi itu akan sentiasa terpahat dalam ingatan kerana misterinya yang belum terjawab hingga kini.

Penyanyi yang juga bekas pramugara, Zarul Husin berkongsi di laman YouTube miliknya mengenai kisah Intan Maizura, waris salah seorang mangsa insiden MH370 yang menitipkan pesanan buat arwah suami tercinta iaitu Mohd Hazrin Hasnan yang merupakan salah seorang kru MH370.

Intan yang juga merupakan seorang bekas pramugari menasihati agar sentiasalah menghargai orang yang tersayang kerana bila-bila sahaja mereka boleh meninggalkan kita.

“Kalau orang itu sudah pergi, tiada apa yang kita boleh buat.  Jadi apa yang boleh saya katakan, sementara orang tersayang masih hidup, hargai mereka. Sebab bila mereka sudah tiada, tiada apa yang mampu kita lakukan.

“6 tahun sudah berlalu. Tak perasan waktu pantasnya pergi..Tiada kubur.. Tiada pesan.. Tiada lagi tangisan seperti dulu, hidup mesti aku teruskan

“Allah dah janji “mati itu pasti”. Takpe, Allah ada.. Anak2 makin membesar..Mereka membesar dengan tangisan..Tak mengerti sepatah apa.

“Hanya jawapan tipu hari demi hari..Buntu nak jawab apa lagi..Sehingga kini baru Iman mengerti, mengerti tak semestinya boleh fahami tapi semuanya samar2 hingga ke mati. Lahirnya Muhammad seorang bayi yang kuat.

“Dia fahami untuk tidak menyusahkan hati ibunya yang kosong. Sedari kecil anak ini tak pernah menyusahkan, hanya tangis bila lapar, lapar dan lapar..tidurnya mudah, senyum sahaja.

“Sedari kecik sudah berdikari.. semuanya mudah berkat dari Ilahi. Sakit kuning, batuk, demam selsema, itu biasa..ke hulu ke hilir ibu sendiri.

“Janji anak kecil ini sembuh dan tak susahkan hati mommy. Aku harapkan anak2 ini sentiasa di bawah lindungan Allah yang Esa.. menjadi anak2 yang soleh supaya dapat mendoakan papa yang berada di sana.

“Tak lekang dari bibir setiap mereka menyebut papa papa papa..

“Moga cinta mereka sentiasa mekar hingga ke syurga..Ya Allah, permudahkanlah segalanya. Aamiin Ya Rabbalalamin,”

Published by
Qistina